Senator bantah keras penggabungan Utusan-NSTP

   

Beberapa orang Senator turut membantah keras rancangan penggabungan Utusan Melayu (M) Berhad dengan News Straits Times Press Berhad (NSTP).

Senator Datuk Syed Ali Syed Abbas Alhabshee berkata jika tampuk pengurusan Utusan Melayu sekarang sudah tidak mampu mengurus lagi, mereka patut memberi laluan kepada golongan muda yang lebih berkaliber.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, penggabungan itu harus dielakkan supaya tiada monopoli media massa serta memastikan sistem penyampaian berita di negara ini tidak dikongkong oleh sesetengah pihak yang berkepentingan.

"Kita khuatir apa akan terjadi kepada Utusan Malaysia dan media massa umumnya sekiranya pergabungan ini terjadi," katanya di Dewan Negara hari ini.

Senator Ismail Kassim pula berkata jika pihak pengurusan Utusan Melayu menghadapi masalah, ia harus diselesaikan dengan baik dan bukannya dengan membuat keputusan tergesa-gesa.

"Orang Melayu mempunyai 'sense of belonging' terhadap Utusan Malaysia yang sekian lama telah memperjuangkan kepentingan orang Melayu itu. Ia mempunyai identiti tersendiri yang menjadi kebanggaan orang Melayu," katanya.

Perkhidmatan awam

Sementara itu, Senator Gooi Hoe Hin menggesa supaya perkhidmatan awam dirombak semula bagi menjadikannya lebih dinamik dan berdaya saing, sejajar dengan arus pembangunan semasa.

Katanya, skim gaji dan insentif sesetengah jawatan tidak lagi kompetitif dengan kos hidup yang tinggi masa kini.

"Saya menyeru agar disemak semula dan jika perlu, skim sesetengah anggota iktisas dan professional seperti polis, doktor dan jururawat dirombak semula supaya skimnya berlainan.

"Imbuhan yang diberikan kepada golongan ini haruslah setanding dengan tugas dan tanggungjawab mereka," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2007.

Gooi berkata, peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi kakitangan awam juga harus diberi pemerhatian yang baru memandangkan kursus dan peperiksaan yang dijalankan seringkali tidak berkaitan dengan profesion dan tanggungjawab calon.

"Ramai kakitangan awam gagal dalam peperiksaan PTK kerana soalan-soalan tidak relevan dengan tanggungjawab mereka.

"Saya fikir ini mencerminkan sesuatu yang tidak sempurna. Saya faham anggota perkhidmatan awam perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan masa kini tetapi cara pelaksanaannya mempunyai lebih kesan buruk daripada yang baik," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In