Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Genting HK mahu tutup: 3 bank utama Malaysia akan terima kesan besar
Diterbitkan:  Jan 24, 2022 1:24 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Ahli Parlimen Subang Wong Chen menuntut akauntabiliti daripada tiga bank Malaysia susulan pelaburan besar daripada dana berkaitan kerajaan berhubung keputusan mereka untuk memberikan pinjaman tidak bercagar yang besar kepada Genting Hong Kong yang kini menghadapi masalah kewangan.

Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad dijangka menerima kesan besar kerana mereka adalah pemiutang tidak bercagar utama Genting Hong Kong dengan jumlah pinjaman berjumlah AS$600 juta (RM2.51 bilion), menurut Straits Times Singapura.

Wong Chen menegaskan bahawa kebanyakan pelabur utama dalam bank-bank ini adalah institusi yang menguruskan simpanan pembayar cukai Malaysia.

Mengikut rekod pegangan saham setakat 31 Disember tahun lalu, pelabur terbesar Maybank ialah Amanah Saham Bumiputera melalui Amanahraya Trustees Berhad dengan pegangan sebanyak 34.01 peratus diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak 12.94 peratus dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 7.09 peratus.

Sementara itu, pemegang saham terbesar dalam CIMB ialah Khazanah Nasional dengan pegangan 25.7 peratus diikuti KWSP (15.3 peratus), PNB (11.8 peratus) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) (6.3 peratus).

Bagi RHB, institusi awam yang mempunyai pegangan saham besar termasuk KWSP (42.3 peratus), PNB (6.1 peratus) dan KWAP (5.89 peratus).

Wong Chen menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi semua pelaburan ini.

“Kerajaan sepatutnya menjaga wang pembayar cukai dan peratusan besar golongan dewasa yang bekerja adalah penyimpan KWSP.

“Sehubungan itu, orang ramai berhak untuk mengetahui jika pinjaman tidak bercagar ini diluluskan secara melulu.

"Khususnya, bank-bank yang meluluskan pinjaman tidak bercagar ini mesti bertindak sekarang untuk mewajarkan tindakan mereka," kata ahli parlimen PKR itu.

Pada 18 Januari lalu, Genting Hong Kong, yang terlibat terutamanya dalam industri kapal persiaran, memfailkan penggulungan perniagaannya selepas syarikat itu tidak dapat membayar hutangnya.

Industri persiaran terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 bermula.

Genting Hong Kong hari ini mengumumkan bahawa pengerusi dan ketua pegawai eksekutifnya, Lim Kok Thay meletakkan jawatan berikutan tindakan penggulungan itu.

Peletakan jawatannya berkuat kuasa pada 21 Januari. Lim memegang 76 peratus kepentingan dalam Genting Hong Kong.

Jutawan itu juga merupakan pengerusi Kumpulan Genting yang memiliki kasino di Malaysia dan Singapura dan juga terlibat dalam sektor perladangan dan tenaga.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS