Potret Ashaari terus hiasi premis Rufaqa
Gambar bekas pemimpin Al-Arqam yang diharamkan, Ashaari Muhammad masih dengan megah menghiasi premis-premis perniagaan milik Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) di bandar Country Homes, Rawang walaupun kerajaan Selangor melarang penggantungan tersebut berkenaan di premis berkenaan.
Di pejabat utama Rufaqa, terpampang megah gambar Ashaari bersaiz besar berserban hijau yang dipercayai diambil ketika beliau mengetuai Al-Arqam pada tahun-tahun 80-an dan awal 90-an.
Baru-baru ini, Exco Selangor Datuk Abdul Rahman Palil berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan melancarkan operasi besar-besaran untuk menurunkan gambar Ashaari di premis milik Rufaqa di seluruh negeri itu.
Jais katanya, mengenalpasti empat tempat - Shah Alam, bandar Country Homes, Serdang dan Kajang - sebagai lokasi utama perniagaan Rufaqa di Selangor.
Bagaimanapun Rufaqa dalam reaksinya kepada kenyataan Abdul Rahman itu telah menegaskan selama ini tidak pernah menerima sebarang perintah bertulis atau lisan dari Jais atau pihak berkuasa tempatan melarang penggantungan ganbar tersebut
Ashaari kini menjadi Pengerusi Eksekutif Rufaqa tetapi dipercayai uzur dan berehat di Nilai, Negeri Sembilan. Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1994 selama 10 tahun.
Kerajaan mengharamkan Al-Arqam pada 1994 kerana pengikut kumpulan itu mengamalkan syariat yang bertentangan dengan Islam termasuk mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.
Tinjauan malaysiakini ke premis perniagaan milik Rufaqa semalam mendapati gambar Ashaari digantung di premis perniagaan seperti kedai kek, kedai makan dan pejabat agensi pelancongan di bandar Country Homes.
Tiada arahan
Perniagaan mereka berjalan seperti biasa dan pekerjanya mendakwa laporan bahawa pihak berkuasa akan melancarkan serbuan untuk menahan pemimpin Rufaqa tidak membimbangkan mereka.
"Saya tidak tahu meletakkan gambar Ashaari merupakan kesalahan. Tidak ada orang pejabat agama yang beritahu saya mengenai perkara tersebut," kata seorang pekerja yang enggan namanya disiarkan.
Apabila ditanya adakah tahu mereka mengenai operasi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap premis Rufaqa, pekerja berkenaan itu menjawab,"saya tidak tahu."
Beberapa pekerja lain pula enggan menjawab pertanyaan sebaliknya meminta wartawan mengemukakan soalan kepada pihak atasan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penerbitan Rufaqa, Laila Ahmad ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kerana semua perkara mengenai syarikat itu telah dijawab.
"Apa yang saya ingin beritahu ialah perniagaan kami berjalan seperti biasa dan tidak ada bisnes yang ditutup," tambahnya.
Beliau mendakwa beberapa pemimpin utama Rufaqa juga cuba menghidupkan semula Al-Arqam dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah yang diharamkan kerajaan.