Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'SPRM bukan penyelesaian isu rasuah, tapi masalah itu sendiri'
Diterbitkan:  Jan 28, 2022 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

SPRM, yang berikrar memberi perhatian serius terhadap penurunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara selama dua tahun berturut-turut, bukanlah penyelesaian kepada isu rasuah tetapi sebaliknya merupakan masalah itu sendiri, kata Amanah dan DAP.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata ini kerana SPRM digunakan sebagai senjata politik terhadap ahli politik pembangkang dan ia gagal bertindak sewajarnya dalam beberapa kes salah guna kuasa yang ketara.

"Malaysia merekodkan prestasi yang terburuk dalam penarafan TI-CPI dan SPRM hanya mampu berkata bahawa akan memberikan perhatian serius serta mengemukakan cadangan yang serius terhadap penurunan CPI negara selama dua tahun berturut-turut sejak kerajaan pintu belakang menggantikan kerajaan yang dipilih rakyat pada 2020," kata mereka dalam satu kenyataan media bersama hari ini.

Jelas mereka, SPRM masih tidak tahu punca penurunan kedudukan CPI daripada tangga 51 dalam Laporan TI-CPI 2019 dengan 53 mata berbanding kedudukan semasa iaitu tangga 62 dengan hanya 48 mata dalam Laporan 2021.

"Sejak dua tahun kebelakangan ini, SPRM secara konsisten dan berterusan membenarkan badan tersebut digunakan sebagai senjata politik terhadap ahli politik pembangkang dengan ancaman penyiasatan dan pendakwaan yang hanya akan gugur secara ajaib apabila ahli parlimen pembangkang tersebut berpaling tadah dan menyokong perdana menteri yang tidak dipilih.

"SPRM telah gagal melaksanakan kewajipan undang-undangnya untuk bertindak secara adil, bebas dan profesional dalam cara yang telus tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Lebih teruk lagi, SPRM sendiri dipenuhi dengan salah guna kuasa dan amalan rasuah apabila penguatkuasa undang-undang menjadi penjenayah," kata mereka.

CPI 2021, yang dikeluarkan oleh Transparency International-Malaysia (TI-M) pada 25 Jan, menunjukkan skor negara merosot kepada 48, berbanding 51 pada tahun sebelumnya dan 53 mata pada 2019.

Malaysia juga turun lima anak tangga dalam CPI 2021, ke kedudukan ke-62 daripada 180 negara dari segi rasuah sektor awam.

Dalam maklum balas segera, SPRM berikrar memberi perhatian serius mengenai perkara itu dan berkata ia akan menyemak semula penemuan laporan TI-CPI 2021 dan mengeluarkan cadangan.

Sementara itu, Mohamad dan Lim turut memetik 17 kes salah guna kuasa yang ketara, yang menurut mereka tidak diambil tindakan sewajarnya oleh SPRM.

Ini termasuk kontroversi pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, kertas Pandora, dakwaan kes melibatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun, Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Tajuddin Abdul Rahman dan Dr Xavier Jeyakumar.

"SPRM mesti tampil membersihkan namanya dan menjelaskan mengapa masih tiada tindakan terhadap 17 kes ini.

"Kegagalan untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dan bertanggungjawab, hanya akan menyebabkan kedudukan CPI Malaysia merosot lagi tahun ini dan menyebabkan keyakinan pelabur dan daya saing Malaysia semakin merosot," kata mereka.

Lihat Komen
ADS