Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Gelarlah Umno dengan gelaran apa pun...'
Diterbitkan:  Jan 29, 2022 1:25 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Umno kelihatan bersikap terbuka selepas parti itu digelarkan sebagai itik yang patah kaki yang diberikan PAS yang menjadi parti rakan mereka dalam Muafakat Nasional.

Menurut Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan lagi, gelaran yang diberikan pihak luar kepada pemimpin dan parti itu sebenarnya dicipta oleh pihak musuh saja.

“Bagi mereka yang menggelar Umno dengan pelbagai gelaran (seperti) itik, angsa, harimau dan sebagainya - gelarlah dengan pelbagai gelaran apa pun.

"Umno masih lagi parti Melayu terbesar. Malah parti politik terbesar di Malaysia.

"Kami bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah disembuhkan mereka.

Dia berkata demikian sebagai mengulas tindakan Umno akhir-akhir ini yang kurang disenangi PAS, termasuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

"Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki. Malangnya apabila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata anggota parlimen Marang itu.

Mohamad berkata langkah Umno mengadakan PRN Johor kononnya kerana pengaruh mana-mana kluster adalah tidak munasabah.

"Umno bukan seperti parti lain. Tiada wala’ kepada presiden dan tiada seorang yang berkuasa memutuskan segalanya. Ia adalah parti untuk semua dan bukan dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja.

"Apabila Umno memutuskan menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, cuma hanya 12 ahli parlimen Umno saja yang akur. Demikianlah demokratiknya Umno," katanya.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga mengingatkan, tanpa sokongan daripada Umno, PAS tidak akan dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan pada hari ini.

“PAS tahu tanpa Umno ia tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam kerajaan Persekutuan selepas PRU nanti.

“Jika PAS berasakan BN itu tidak lagi relevan, kita pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya.

"Biarlah rakyat juga memutuskan sama ada PAS dan PN itu relevan lagikah atau tidak,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS