mk-logo
Berita
PAS, Bersatu ingatkan k'jaan tentang sokongan bersyarat PN
Diterbitkan:  Jan 29, 2022 2:46 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

PAS dan Bersatu hari ini mengingatkan kerajaan bahawa sokongan yang diberikan kepada Ismail Sabri Yaakob bukanlah dibuat dengan begitu saja, sebaliknya bersyarat.

Menurut Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sokongan yang diberikan - sehingga memungkinkan Umno dan naib presidennya itu menjadi kerajaan - tertakluk kepada syarat tertentu.

“Mempertegaskan sokongan PAS dan Bersatu dalam kerajaan persekutuan adalah bersyarat perlu dihormati dan dirundingi atas nilai integriti, antirasuah dan berkebajikan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata demikian dalam sidang media selepas Muzakarah PAS Bersatu di Shah Alam hari ini.

Turut hadir timbalan presiden dan setiausaha agung kedua-dua parti.

Peringatan itu dibuat ketika kedua-dua parti menyatakan rasa tidak senang mereka atas tindakan Umno-BN bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Ia juga menjadi satu daripada tujuh resolusi yang dicapai kedua-dua parti terbabit dalam muzakarah tersebut.

Untuk rekod sebelum ini Muhyiddin merupakan perdana menteri yang kemudian diketepikan melalui percaturan Umno yang mengarahkan ahli parlimen parti itu menarik sokongan mereka.

Mahu bentuk kerajaan negeri

Selepas kehilangan majoriti di parlimen Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh meletakkan jawatannya pada 16 Ogos 2021 dan tempatnya digantikan oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Namun Ismail Sabri hanya dapat dilantik ke jawatan berkenaan dengan adanya sokongan diberikan PN ekoran penguasaan Pakatan Harapan selepas PRU ke-14 lalu.

Bersatu mempunyai 32 ahli parlimen manakala PAS 18 orang. Dengan adanya dukungan tersebut Ismail Sabri akhirnya memperoleh 116 sokongan ahli parlimen termasuk dari Umno sendiri.

Secara keseluruhan ada 222 kerusi di Dewan Rakyat, namun dua daripadanya kini kosong ekoran kematian wakilnya.

Turut dicapai hasil muzakarah yang berakhir pada hari ini ialah kekesalan Bersatu dan PAS terhadap percaturan politik pihak tertentu yang didakwa mereka menutup pintu perpaduan, selain menggugat kestabilan politik negara.

Pada masa sama, kata Muhyiddin, tindakan tersebut dilihat mempertaruhkan nasib rakyat.

PAS dan Umno juga memutuskan untuk menyertai PRN Johor sebagai satu pasukan di bawah panji PN.

Kata Muhyiddin, PN juga bakal menampilkan gabungan calon muda serta berpengalaman pada PRN berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, butiran lanjut mengenai perancangan dan pembahagian kerusi di antara parti komponen PN akan dimuktamadkan kemudian.

"Insya-Allah akan dibincangkan perkara itu kerana yang penting ialah hasrat kami bertanding bagi mendapatkan mandat rakyat Johor, bangsa Johor untuk membentuk kerajaan PN di peringkat negeri," katanya.

Lihat Komen
ADS