Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan taktik ugutan terhadapnya kakitangannya, dipercayai kesan pembabitannya dalam demonstrasi menuntut Azam Baki ditahan.

"Saya rasa perlu saya bawa kepada pengetahuan umum dan menteri dalam negeri bahawa pada waktu ini saya sedang diintimidasi.

"Pegawai SPRM telah datang intimidasi pegawai-pegawai saya di Simpang Renggam dan individu yang telah membantu saya," katanya.

Maszlee mendakwa pegawai SPRM menyiasatnya berdasarkan laporan yang dibuat terhadapnya, berkait dengan tindakan diambilnya sebagai ahli parlimen Simpang Renggam serta ketika berkhidmat sebagai menteri pendidikan.

"Mereka (pegawai SPRM) kata ada laporan (dibuat) terhadap saya. Laporan apa?

"Program-program pendidikan, program untuk memandaikan rakyat dan program mengalakkan pembacaan untuk murid kembali ke sekolah.

"Adakah ini satu dosa kepada SPRM? Nak ke mana perginya negara kita ini?," katanya.

Maszlee ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Dangi Wangi di tengah Kuala Lumpur hari ini selepas memberi keterangan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ia berkaitan penglibatannya dalam demonstrasi diadakan oleh Pemuda PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang berlangsung di luar bangunan Parlimen pada 20 Jan lalu.

Dia ditemani peguam Roger Chan Weng Keng, dan memberitahu polis bertindak secara profesional semasa disoal siasat.

Bagaimanapun, bekas menteri pendidikan itu berpendirian dia tidak sepatutnya menjadi individu yang perlu disoal, sebaliknya pihak yang mempunyai "berjuta-juta saham dalam akaunnya, yang didakwa milik adiknya" - merujuk kepada ketua pesuruhjaya agensi antirasuah negara.

Azam yang mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapat perhatian ramai berhubung pemilikan saham dalam dua syarikat senaraian awam antara 2015 dan 2016.

Pemilikan tersebut menimbulkan persoalan sama ada sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam atau tidak, selain kebimbangan mengenai konflik kepentingan.

Selain Maszlee turut dipanggil memberi keterangan ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah yang disoal siasat semalam.

Antara tuntutan dalam memorandum oleh Pemuda PKR ialah menggantung Azam daripada jawatannya sebagai ketua SPRM dan mendesak supaya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi meneliti skandal berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS