Perlukah orang asing yang mahu memasuki negara ini secara sah mempunyai sejumlah wang tertentu? Adakah ini peraturan baru Jabatan Imigresyen Malaysia?

Dua soalan di atas menghantui seorang peniaga, Reimund Chong, 44, (foto bawah) yang teman wanitanya, seorang warga China berusia 30 tahun dinafikan dari memasuki negara ini oleh pegawai Imigresyen pada Isnin lalu kerana tidak mempunyai wang tunai yang cukup bersamanya.

Menurut kandungan laporan polis yang dibuat oleh Chong terhadap insiden tersebut, pegawai Imigresyen yang sama turut menuduh teman wanitanya datang ke sini untuk melacurkan diri.

Chong menunjukkan laporan polisnya itu dalam sidang media bersama Ketua Penerangan Parti Keadilan Nasional (PKR) Tian Chua di Brickfields.

"Saya cuba menyelesaikan masalah ini dan akhirnya pegawai tersebut mencadangkan teman wanita saya dihantar balik ke China dan saya pula mengirimkan sejumlah wang kepadanya sebelum teman wanita saya terbang semula ke negara ini bersama wang yang dikirim itu dan dibenarkan masuk," katanya.

Menurutnya, cadangan itu tidak munasabah kerana beliau lebih rela membayar apa sahaja bayaran yang diperlukan untuk membolehkan teman wanita masuk ke negara ini daripada melihatnya dihantar balik ke China dan datang balik ke negara ini dengan wang yang dikirim itu.

"Lebih menyedihkan mereka menuduhnya datang ke sini untuk melacur. Saya sangat marah," katanya sambil menyatakan cadangannya untuk menyaman semua pihak yang terbabit termasuk kerajaan bagi menuntut ganti rugi.

Chong menambah, tiada sebarang penjelasan diberikan mengapa sejumlah wang berkenaan diperluakan.

Tahun Melawat Malaysai

Wanita China itu tiba di Terminal Pesawat Kos Rendah Kuala Lumpur (LCCT) Isnin lalu dan dihantar balik ke Macau awal pagti esoknya. Di dalam laporan polisnya itu, Chong juga mendakwa sepanjang ditahan, teman wanitanya tidak diberikan makan dan minum manakala telefon bimbitnya dirampas.

Sebelum ini warga China pernah memasuki negara ini dengan menggunakan visa 30 hari pada Oktober lalu tanpa sebarang masalah. Pada Isnin lalu beliau menggunakan visa keluar masuk baru untuk tempoh 3 bulan yang diperolehinya dari pejabat kedutaan China di China.

Menurut Chong lagi, visa tersebut tidak dibatalkan oleh Jabatan Imigresyen tetapi beliau serik untuk menyuruh taman wanitanya datang semula kecuali jika diberi jaminan insiden itu tidak akan berulang.

Tian Chua pula berkata, tindakan pegawai imigresyen itu merosakkan rancangan kerajaan Malaysia untuk menjadi negara ini sebuah pusat pelancongan.

"Sebelum ini kita menuduh Amerika dan negara lain menghalang umat Islam memasuki negara mereka kerana mensyaki umat Islam mungkin mahu meletupkan bangunan, tetapi kini kita pula mengandaikan wanita warga China datang ke sini untuk melacur."

"Kita tidak boleh menghantar pulang orang luar jika mereka tidak melanggar undang-undang Imigresyen negara ini," tambahnya.