Mahkamah tetapkan sebutan kes bunuh Altantuya pada 5 Januari
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan kes penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat dengan dua anggota polis membunuh model rakyat Mongolia Altantuya Shaariibuu, untuk sebutan pada 5 Januari depan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan kes penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat dengan dua anggota polis membunuh model rakyat Mongolia Altantuya Shaariibuu, untuk sebutan pada 5 Januari depan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zaki Md Yasin juga menetapkan tarikh yang sama untuk menyebut kes dua anggota polis yang dituduh membunuh Altantuya.
Mahkamah melanjutkan bon jaminan terhadap Abdul Razak, 46, tetapi dengan syarat baru, iaitu dia dikehendaki mendepositkan RM1 juta atau sekuriti yang bernilai setara dengannya selewat-lewatnya pada jam 5 petang ini.
Menurut Bernama, isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan membayar bon jaminan itu pada jam 3.30 petang.
Syarat yang diperintahkan oleh Hakim Datuk Abdul Kadir Musa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 November lalu, dikekalkan, iaitu melaporkan diri di balai polis Brickfields seminggu sekali dan pasport antarabangsanya diserahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Abdul Razak (kiri) dituduh bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, melakukan pembunuhan yang berakhir dengan mayat Altantuya diletupkan dengan bahan letupan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, di antara jam 9.54 pagi dan 11.05 pagi 18 Oktober lalu. Alamat itu adalah alamat rasmi Malaysian Strategic Research Centre (MSRC) yang diketuai Razak.
Azilah dan Sirul Azhar, kedua-duanya daripada Unit Tindakan Khas (UTK) polis Bukit Aman dituduh membunuh Altantuya di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober lalu.
Cebisan daging
Kematian Altantuya terbongkar apabila cebisan daging dan pakaiannya ditemui di kawasan hutan di Puncak Alam pada 7 November lalu.
Abdul Razak tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi. Dia kelihatan ditemani isteri, Mazlinda Makhzan, anak perempuan Roweena, 19, ibu bapanya, dan abangnya, Dr Rani Abdullah.
Abdul Razak, yang memakai kemeja biru muda dan berseluar biru gelap, kelihatan tenang ketika melangkah masuk ke dalam mahkamah.
Manakala Azilah dan Sirul Azhar tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.50 pagi dengan tangan bergari dan diiringi beberapa anggota polis.
Konsul Kehormat Mongolia Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi tiba di mahkamah jam 9.05 pagi bersama seorang jurubahasa, seorang wakil kerajaan Mongolia serta seorang wartawan dan jurufoto media dari Mongolia.
Pada 23 November lalu, Abdul Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tuduhan bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar membunuh Altantuya. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Dia dituduh mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
PM Mongolia
Hadir sama di mahkamah hari ini ialah peguam Karpal Singh, yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Atlantuya, dan Setiausaha Khas Kementerian Luar Mongolia, Aruinbold Yadmaa.
Kakak Altantuya (kiri) dan abangnya (di bawah) turut hadir di mahkamah.
Aruinbold mengesahkan bahawa Perdana Menteri Mongolia, Mieagombo Enkhbold telah menghantar surat kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta supaya perbicaraan dijalankan secara adil dan saksama.
Awal minggu ini, 45 pertubuhan bukan kerajaan Mongolian turut menyuara perkara yang sama berhubung perbicaraan tersebut.
Ketika ditemui kemudian, Karpal mengkritik tindakan peguambela yang memohon supaya tuduhan disemak semula. "Kita menjadi bahan ketawa masyarakat dunia," katanya.
Karpal berkata beliau akan menghantar surat bantahan bagi pihak keluarga Altantunya berhubung perkara itu kepada Peguam Negara.

