Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin menolak penjelasan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai sebab tiga bank berkaitan kerajaan memberikan pinjaman tidak bercagar - sebanyak RM2.51 bilion - kepada Genting Hong Kong Ltd (Genting Hong Kong).
"Setelah mempertimbangkan dengan sewajarnya kenyataan yang dibuat di atas, saya perlu katakan bahawa - dengan hormat - alasan Tengku Zafrul itu itu amat lemah, malah langsung tak ada merit," katanya.
Pemimpin Amanah itu mendakwa justifikasi amalan perbankan seperti yang dijelaskan Tengku Zafrul sukar dipercayai memandangkan dia sendiri mempunyai pengalaman luas dalam industri perbankan.
Dua hari lalu, Tengku Zafrul membidas Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas ahli parlimen Port Dickson itu mempersoalkan bagaimana dia boleh membenarkan Maybank, CIMB, dan RHB memberikan pinjaman tidak bercagar kepada Genting Hong Kong.
Dalam jawapannya, Tengku Zafrul berkata pinjaman tanpa cagaran bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam industri perbankan, dan institusi itu mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian berdasarkan kesanggupan mereka mengambil risiko.
Dalam kes Genting Hong Kong, katanya, pinjaman itu telah diluluskan sebelum wabak Covid-19 melanda dan apabila pandemik itu merebak, perniagaan syarikat itu terjejas.
Senator itu juga berkata bank lain turut memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong.
Ada kepentingan kerajaan
Selain itu, Tengku Zafrul menegaskan walaupun Kementerian Kewangan mahupun syarikat kerajaan menjadi pemegang saham dalam bank-bank terbabit, mereka tidak terlibat dalam operasi harian syarikat.
Hanipa berkata walaupun Covid-19 boleh dikategorikan sebagai risiko yang tidak dapat dijangka, langkah keselamatan tambahan sepatutnya ditegaskan oleh institusi kewangan.
"Dalam undang-undang ia dipanggil sebagai fortuitous event, memang tak ada keraguan mengenainya.
"Itulah sebabnya mengapa mana-mana institusi kewangan akan berkeras untuk (permohonan pinjaman) mempunyai sekuriti tambahan seperti gadai janji atau surat jaminan daripada peminjam sebelum sebarang pinjaman diluluskan.
“Ringkasnya, perkara asas untuk memiliki sekuriti dalam amalan perbankan adalah disebabkan oleh sifat transaksi pinjaman itu sendiri – ia adalah transaksi yang berisiko.

"Oleh itu, bank amat memerlukan perlindungan tambahan melalui sekuriti yang boleh dikuatkuasakan.
“Ia difahami bahawa pemiutang bercagar secara relatifnya lebih dilindungi daripada yang tidak bercagar terutamanya ketika berlaku muflis," kata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
Selain itu, Hanipa mendakwa percubaan untuk mengehadkan sebarang risiko yang tidak dijangka berkaitan wabak adalah "tidak masuk akal", memandangkan risiko yang tidak dijangkakan dalam amalan perbankan adalah banyak.
Genting Hong Kong memfailkan permohonan untuk muflis pada 19 Jan.
Menurut Straits Times Singapura, tiga bank – Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Group Bhd, dan RHB Bank Bhd – mempunyai pendedahan gabungan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion) di Genting Hong Kong.
Kerajaan mempunyai kepentingan dalam bank-bank terbabit melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pada 18 Januari lalu, Genting Hong Kong, yang terlibat terutamanya dalam industri kapal pesiaran, memfailkan penggulungan perniagaan selepas tidak dapat membayar hutangnya.

Pada 19 Jan, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Hong Kong, Lim Kok Thay (gambar), meletakkan jawatan ekoran tindakan penggulungan itu.
Menurut Straits Times Singapura, Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad dijangka menerima kesan besar kerana mereka adalah pemiutang tidak bercagar utama Genting Hong Kong dengan jumlah pinjaman berjumlah AS$600 juta (RM2.51 bilion).
Mengikut rekod pegangan saham setakat 31 Dis tahun lalu, pelabur terbesar Maybank ialah Amanah Saham Bumiputera melalui Amanahraya Trustees Berhad dengan pegangan sebanyak 34.01 peratus diikuti KWSP (12.94 peratus) dan PNB (7.09 peratus).
Sementara itu, pemegang saham terbesar dalam CIMB ialah Khazanah dengan 25.7 peratus diikuti KWSP (15.3 peratus), PNB (11.8 peratus) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (6.3 peratus).
