Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Adik ipar tanya suami, ok ke kongsi gambar makanan tak halal?'
Diterbitkan:  Feb 3, 2022 6:34 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Seorang wanita yang mengahwini seorang lelaki mualaf berbangsa Cina baru-baru ini berkongsikan pengalaman menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga mentua.

Berkongsi kisah itu di Facebook, Nur Hazifah berkata ia merupakan sambutan Tahun Baru Cina kali pertama bagi dirinya sejak mengahwini suaminya, Daniel.

"Keluarga suami saya berkongsi gambar makanan malam tahun baru yang dimasak oleh ibu mentua.

“Ada bermacam lauk pauk, dan punyai simbolik tersendiri bagi masyarakat Cina seperti masakan ikan yang sebutannya yú dan sama seperti sebutan lebihan (rezeki) yang melambangkan ada lagi simpanan untuk menyambut tahun baru,” kata Hafizah berkongsikan pengalaman baru itu.

Menurut Hafizah, keluarga suaminya juga berkongsi gambar makanan malam tahun baru yang dimasak ibu mentuanya di aplikasi WhatsApp dengan pelbagai jenis lauk pauk termasuk sayur bendi dan sup Sze Chuan.

"Adik ipar juga bertanyakan suami saya adakah saya okay untuk dia berkongsi gambar makanan tidak halal dalam group WhatsApp keluarga. Sudah tentu saya okay saja," cerita Hafizah.

"Begitulah orang bukan Melayu selalunya, akan sangat prihatin dan sensitif saja dengan apa yang halal atau haram dan akan mengganggu sensitiviti orang Islam walhal ini adalah hari perayaan mereka dan saya adalah seorang ahli keluarga baru yang berada jauh di negara lain juga," katanya.

Kata Hafizah, dia berasa terpanggil untuk menulis tentang bagaimana orang Melayu selalu saja memaksakan kepercayaan atau pendirian mereka terhadap sesuatu perkara di mana yang selalunya tidak menganggu hidup mereka.

“Ambil contoh alkohol atau arak yang selalu menjadi modal politik perkauman di Malaysia ini, ia sememangnya haram bagi orang Islam tetapi arak telah wujud dalam sejarah pelbagai bangsa termasuk bangsa Arab sendiri sebelum diharamkan oleh Islam.

“Dalam masyarakat Cina juga ada sejarah dan budaya tersendiri dengan arak yang dihidangkan untuk tetamu sebagai tanda penghormatan, digunakan dalam masakan dan minuman memanaskan badan, untuk tujuan perubatan dan sebagainya,”katanya.

Jelasnya, tidak ada individu berbangsa Cina yang suka dan setuju dengan amalam meminum minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk.

“Tetapi kita tanpa cuba memahami budaya orang lain terus saja mahu menghapuskan semua yang haram bagi kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS