Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan antara 20 hingga 60 peratus bagi kadar tol bagi pengguna kereta di lima lebuhraya dalam kawasan Lembah Kelang.

Lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie.

Kadar tol LDP dinaikkan dari RM1 kepada RM1.60. Manakala kadar tol bagi lebuhraya Kesas naik dari RM1.50 kepada RM2.20.

Kadar tol bagi Lebuhraya Cheras-Kajang-Batu 9 naik dari 70 sen kepada RM1 dan 60 sen kepada 90 sen bagi Lebuhraya Cheras-Kajang Batu 11 .

Tol bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak-Gombak kini dinaikkan kepada RM5 meningkat RM1. Manakala kadar tol bagi lebuhraya Kuala Lumpur-KG-Bentong dinaikkan sebanyak 50 sen kepada RM3.

Kadar tol bagi Lebuhraya Koridor Gut hrie juga naik dari RM1 kepada RM1.40.

Kenaikan baru kadar tol itu diumumkan oleh Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu petang ini.

LDP dibina pada harga RM1.5 bilion manakala Lebuhraya Shah Alam (RM1.3 bilion), Lebuhraya Cheras-Kajang (RM330 juta), Lebihraya Koridor Guthrie (RM862 juta) dan Lebuhraya KL-Karak (RM500 juta).

Kadar tol ikut kelas

Kadar tol di lebuhraya terbabit dikenakan mengikut kelas Kelas 1 (kereta), Kelas 2 (lori kurang daripada satu tan), Kelas 3 (lori besar dan treler); Kelas 4 (teksi) dan Kelas 5 (bas).

Berikut adalah kadar baru di lima tol berkenaan mengikut kelas kenderaan.

LDP: Kelas 1 (RM1.60), Kelas 2 (RM3.20), Kelas 3 (RM4.80), Kelas 4 (80 sen) dan Kelas 5 (RM1.60).

Lebuhraya Shah Alam: Kelas 1 (RM2.20), Kelas 2 (RM3.30), Kelas 3 (RM4.40), Kelas 4 (RM1.10 sen) dan Kelas 5 (RM1.70).

Lebuhraya Cheras-Kajang (Tol Batu 9): Kelas 1 (RM1), Kelas 2 dan 3 (RM2), Kelas 4 (50 sen) dan Kelas 5 (RM1).

Lebuhraya Cheras-Kajang (Tol Batu 11): Kelas 1 (90 sen) Kelas 2 dan 3 (RM1.80), Kelas 4 (50 sen), Kelas 5 (90 sen).

Lebuhraya Koridor Guthrie: Kelas 1 (RM1.40): Kelas 2 (RM2.80), Kelas 3 (RM4.20), Kelas 4 (RM2.50) dan Kelas 5 (RM5).

Lebuhraya KL-Karak (Gombak): Kelas 1 (RM5): Kelas 2 (RM10), Kelas 3 (RM15), Kelas 4 (70 sen) dan Kelas 5 (RM1.40).

Lebuhraya KL-Karak (Bentong): Kelas 1 (RM3): Kelas 2 (RM6), Kelas 3 (RM9), Kelas 4 (RM1.50 sen) dan Kelas 5 (RM3).

Lagi kenaikan

Samy juga mengumumkan bahawa kadar tol lapan lagi lebuhraya akan disemak semula pada tahun 2008.

Ia membabitkan Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru (Shahpadu), Lebuhraya Butterworth-Kulim, Laluan Kedua Malaysia-Singapura dan Jambatan Pulau Pinang.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuhraya terbabit, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tol mengikut tempoh yang dipersetujui.

Katanya, kerajaan menyediakan subsidi bagi menampung kenaikan kadar tol tetapi menurutnya, kini kerajaan tidak lagi mampu untuk terus berbuat demikian.

Bulan lalu, Samy Vellu berkata, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM2 bilion untuk menampung kenaikan kadar tol.

Sementara itu. pertubuhan pengguna menyifatkan kenaikan kadar tol itu sebagai tidak munasabah selepas harga minyak Februari lalu yang menyebabkan berlakuknya protes di Kuala Lumpur diikuti dengan kenaikan tarif elektrik Jun lalu.