Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembersih hospital bermotosikal bawa rayuan dari PP ke Putrajaya
Diterbitkan:  Feb 5, 2022 2:30 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Konvoi motosikal yang kebanyakan pesertanya terdiri daripada wanita anggota Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) di Pulau Pinang bermula hari ini.

Mereka merancang untuk bergerak beramai-ramai sehingga ke destinasi akhir iaitu di Putrajaya, atau lebih khusus, di bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada lusa.

Di situ mereka berhasrat menyerahkan memorandum rayuan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk melindungi hak pekerja pembersihan hospital kerajaan yang berkhidmat secara kontrak.

Mereka bermula dengan enam motosikal tetapi jumlahnya dijangka meningkat apabila anggota konvoi terbabit singgah di pelabagi hospital kerajaan yang lain di sepanjang jalan yang ditetapkan.

Tuntutan kumpulan itu termasuk memansuhkan sistem kontrak, memberikan elaun Covid-19 kepada semua kakitangan hospital kerajaan dan menghentikan ugutan terhadap ahli yang terlibat dalam kesatuan sekerja.

Perbelanjaan untuk perjalanan tersebut ditanggung oleh mereka sendiri.

Pada sidang media di Petaling Jaya bulan lalu, Pengerusi NUWHSAS Roziah Mohammed Hashim berkata konvoi itu bertujuan untuk ahli kesatuan mengunjungi hospital di negeri-negeri lain dan meungumpulkan surat-surat aduan daripada kakitangan hospital yang tidak berpuas hati.

Dia berkata kebanyakan ahli mereka terdiri daripada kalangan wanita itu dan mereka menunggang motosikal sebagai menunjukkan tahap pendapatan mereka sekarang.

Katanya pekerja terbabit sukar mendapatkan pinjaman bank bagi membeli kereta.

“Sebanyak 80 peratus kakitangan pembersihan hospital kerajaan menunggang motosikal untuk pergi kerja. Motosikal dah jadi alat pengangkutan utama mereka.

"Disebabkan pendapatan yang rendah - kira-kira RM1,200 sebulan - sistem kontrak yang diperbaharui setiap dua tahun itu menyukarkan mereka untuk mendapatkan pinjaman bank untuk membeli kereta atau rumah," katanya.

Kira-kira 18 hingga 20 hospital akan dikunjungi di sepanjang ekspedisi tersebut.

Setiausaha Eksekutif NUWHSAS Sarasvathy Muthu menambah kesatuan itu menghantar lima memorandum kepada KKM sejak 2015 tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga kini.

“Pekerja pembersihan hospital adalah tulang belakang industri kesihatan, tetapi kerajaan enggan menangani kebimbangan kami.

"Mereka sahaja yang boleh membantu keadaan kita melalui perubahan dasar.

"Tanpa pekerja pembersih hospital, apa yang akan berlaku kepada hospital?" soalnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS