Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Portal anggap 'berita palsu PM' sebagai analisis semasa
Diterbitkan:  Feb 5, 2022 4:56 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Sebuah portal yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan laporannya dan menganggap apa yang disiarkan itu sebagai analisis politik berdasarkan keadaan semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Daily, Md Izwan Zubit, juga menegaskan laporan berkenaan sebagai tidak berniat jahat terhadap Ismail Sabri.

"Ingin saya jelaskan di sini artikel tersebut bukan satu fitnah sebenarnya. Ianya adalah satu analisis yang dibuat oleh pengarang kami tentang senario politik semasa.

"Jadi apabila ditafsir sebagai fitnah atau berita palsu, ianya tidak benar.

"Kerana ia bukan berita, (sebaliknya) ianya pandangan atau analisis yang diutarakan oleh pengarang," katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Md Izwan sebelum itu direkodkan keterangannya sebagai susulan laporan polis dibuat setiausaha politik Ismail Sabri pada 31 Jan lalu.

Dalam laporan polis itu tiga portal dinamakan selepas menyiarkan artikel yang mendakwa perdana menteri telah "memohon" Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menarik balik sokongan mereka terhadapnya.

Menurut pegawai Ismail Sabri, portal berkenaan didakwa memanipulasi kenyataan perdana menteri ketika berjumpa dengan pemberita di sebuah majlis di Bera, Pahang.

Md Izwan menyifatkan tindakan pegawai Ismail Sabri membuat laporan polis sebagai tidak munasabah.

"Tindakan pembantu PM buat laporan polis terhadap saya sifatkan sebagai satu langkah tidak wajar kerana beliau boleh hubungi kami sendiri pihak Agenda Daily untuk mendapatkan penjelasan bagi membetulkan artikel tersebut," katanya.

Mengenai siasatan polis, Md Izwan berkata dia memberikan kerjasama penuh dan pada masa sama berharap perdana menteri sepatutnya bersikap lebih matang dan terbuka kepada kritikan.

Sebelum penyiaran artikel itu, Ismail Sabri telah memberitahu sidang akhbar bahawa kestabilan politik adalah penting untuk negara.

Tanpanya kata naib presiden Umno itu lagi, akan menyaksikan satu lagi kemelut politik yang mungkin menjejaskan ekonomi Malaysia.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang berkata sokongan parti itu terhadap kerajaan pusat pimpinan Ismail Sabri adalah "bersyarat".

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS