Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini bahawa tiada pihak lain yang terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu, selain daripada penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Timbalan Pendakwaraya Salehuddin Saidin memberitahu mahkah, perkara itu perlu diperjelaskan berikutan wujud terlalu banyak tohmahan dan sindiran bahawa ada pihak lain yang terlibat sedangkan mengikut siasatan polis hanya tiga tertuduh itu yang terlibat.

Menurut laporan Bernama, Salehudin berkata, perbicaraan kes itu juga perlu disegerakan bagi memberi peluang pendakwaan menepis segala spekulasi yang timbul.

Abdul Razak yang lebih dikenali sebagai Razak Baginda didakwa bersubahat membunuh wanita warga Mongolia Altantuya, 28, dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Konstabel Sirul Azhar Umar, 35, di pejabat Abdul Razak di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, No 148, Jalan Ampang antara pukul 9.54 pagi dan 11.05 pagi, 18 Okt lalu.

Azilah dan Sirul Azhar yang sebelum ini bertugas di UTK, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pula didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1.00 pagi 20 Oktober lalu.

Sebutan semula

Kenyataan Salehuddin mengenai penyegeraan perbicaraan itu dibidas oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Md Yasin dengan menyatakan bahawa mahkamah perlu juga mempertimbangkan kes yang lain dan sekiranya ia ditetapkan terlalu awal antara Januari atau Februari, banyak kes akan ditangguh dan kebanyakan tertuduh masih dalam tahanan reman.

Zaki berkata mahkamah mempunyai sekurang-kurangnya 130 kes setahun dan mungkin lima kes sahaja yang dapat didengar dalam tempoh itu, jadi adalah tidak adil sekiranya kes itu dipercepatkan.

Bagaimanapun Zaki memaklumkan bahawa dia akan menyerahkan perkara itu diputuskan oleh Hakim Datuk K. N Segara yang sepatutnya mendengar kes itu nanti kerana dia hanya dipertanggungjawapkan untuk mendengar sebutan kes dan menetapkan tarikh sebutan memandangkan Segara sedang bercuti.

Mengikut rekod mahkamah tarikh yang terdekat adalah pada bulan Oktober dan November.

Zaki telah menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes itu dan turut membenarkan jaminan terhadap Abdul Razak dilanjutkan tetapi mengenakan syarat tambahan dengan mendepositkan wang tunai RM1 juta atau sekuriti yang setara dengannya selain melaporkan diri di balai polis seminggu sekali dan menyerahkan pas perjalanan ke mahkamah.