Laporan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan tahap pendidikan rendah di Malaysia jauh ketinggalan, bukan sahaja berbanding dengan negara membangun yang lain, malah dengan beberapa negara di Benua Afrika.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata laporan Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan PBB (Unesco) menunjukkan Malaysia tersenarai antara 24 negara yang peratusan kanak-kanak mendapat pendidikan sekolah rendah telah merosot.

Katanya, laporan tersebut menyenaraikan Malaysia bersama negara-negara seperti Maldives, Palestin, Lithuania dan Malawi.

Wan Azizah berkata, laporan pemantauan global pendidikan untuk semua 2007 yang dilancarkan di Paris pada 26 Oktober 2006 antara lain mengumpulkan statistik pendidikan antara tahun 1999 hingga tahun 2004 bagi negara-negara di dunia, termasuk Malaysia.

Katanya, laporan itu menunjukkan perbelanjaan kerajaan Malaysia bagi pembelajaran peringkat rendah untuk setiap murid mengikut peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah pada kadar 13.1 peratus.

"Meskipun kadar ini meletakkan negara kita lebih baik berbanding negara seperti Laos (4 %), Indonesia (2.5%), Filipina (10.3%), Uganda (8.7%) dan Zambia (9.4%), tetapi pada masa yang sama, kita berada di belakang negara-negara membangun di Afrika seperti Kenya (23.3%), Malawi (13.4%), Senegal (13.6%) dan Afrika Selatan (13.4%).

"Butiran ini juga telah menunjukkan berlaku kemerosotan pada tahap pendidikan di Malaysia kerana pada tahun 1992 peratusan bagi Malaysia ialah pada kadar 14.1 peratus," kata Wan Azizah dalam satu kenyataan semalam.

Keluarga terpinggir

Menurut laporan itu lagi, katanya, pada tahun 1999 peratusan kanak-kanak di Malaysia yang mendapat pendidikan sekolah rendah berada pada kadar 98 peratus tetapi pada tahun 2004, angka itu merosot kepada 9 peratus.

Wan Azizah berkata, penganalisa dasar laporan tersebut, Dr Nicole Bella menyatakan antara cabaran utama yang dihadapi oleh sekolah rendah di Malaysia ialah kesukaran menarik dan mengekalkan kanak-kanak dari keluarga terpinggir untuk mendapatkan pendidikan.

"Memandangkan kerajaan hari ini bercakap mengenai pembangunan modal insan yang menjadi elemen penting Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), semestinya statistik dalam laporan Unesco ini dan analisa oleh Dr Nicole dikaji secara mendalam dan dengan berlapang dada.

"Kita melihat bagaimana universiti kita tercicir di dalam senarai antarabangsa dan lebih 80,000 mahasiswa kita menganggur, meskipun peratusan perbelanjaan pendidikan tinggi kita agak kompetitif," tambahnya.

Jelas sekali, tegasnya, kelemahan di peringkat asas pendidikan adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemerosotan mutu pendidikan tinggi negara.

"Kegagalan mengatasinya akan meneruskan trend di mana Malaysia yang semakin ketinggalan dalam segala aspek dari segi daya saing antarabangsa," kata Wan Azizah.