Rufaqa arah gambar Ashaari diturunkan

Muda Mohd Noor        

Rufaqa Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) Rufaqa telah mengarahkan gambar Ashaari Muhammad supaya tidak lagi menggantung gambar bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad di semua premis perniagaannya bagi mengelak dikenakan tindakan oleh pejabat agama.

Pengarah bahagian penerbitan Rufaqa, Zaini Othman berkata, arahan tersebut dikeluarkan minggu lalu kepada semua premis syarikat tersebut di seluruh negara.

"Setakat ini, hampir 50 premis perniagaan Rufaqa di Pantai Timur sudah tidak lagi menggantung gambar Ashaari dan saya berharap di tempat lain mengambil langkah sama.

"Walaupun pihak berkuasa agama belum mengeluarkan arahan supaya kami tidak menggantung gambar Ashaari, tetapi kami berbuat demikian kerana tidak mahu berkonfrontasi dengan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ashaari adalah pengerusi eksekutif Rufaqa yang memegang 75 peratus saham dalam syarikat Rufaqa.

Baru-baru ini, Exco Kerajaan Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil mengumumkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan membuat operasi bagi menurunkan gambar Ashaari yang diletakkan di dalam premis Rufaqa.

Bagaimanapun, Zaini berkata, sehingga hari ini belum ada premis Rufaqa di seluruh negara yang diserbu oleh Jais ataupun pejabat agama lain.

"Saya ingin menjelaskan bahawa perniagaan Rufaqa berjalan seperti biasa dan tidak ada premis yang ditutup akibat serbuan pejabat agama," katanya lagi.

Tiada perbincangan

Zaini berkata, pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Rufaqa bagi mengenalpasti masalah yang menyebabkan premis Rufaqa boleh diharamkan.

Sementara itu, Zaini berkata, peguam Rufaqa sedang mengkaji keputusan Majlis Fatwa Sabah yang mengharamkan ajaran, pegangan dan fahaman serta rangkaian syarikat gabungan Rufaqa di negeri itu kerana didakwa menyeleweng dari ajaran Islam.

Katanya, kajian tersebut meliputi adakah keputusan Majlis Fatwa Sabah itu boleh diterima atau sebaliknya.

"Kita mahu tahu bagaimana Mufti Sabah, Datuk Ahmad Alawi Adnan boleh mengeluarkan fatwa bahawa kedai Rufaqa mesti ditutup kerana didakwa menyeleweng.

"Adakah mufti boleh mengeluarkan arahan demikian. Mengapa bukan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

Zaini meminta pihak berkuasa agama membuktikan penyelewengan yang dilakukan oleh Rufaqa sehingga syarikat itu hendak diharamkan seperti yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Sabah.

Semalam, Pengerusi Majlis Fatwa Sabah merangkap Mufti negeri, Datuk Ahmad Alawi Adnan, Sabah mengharamkan ajaran, pegangan dan fahaman serta rangkaian syarikat gabungan Rufaqa di negeri itu kerana didapati menyeleweng dari ajaran Islam.

Beliau turut mengharamkan buku berjudul Abuya Ashaari Muhammad - Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya kerana mengandungi ajaran dan fahaman bertentangan dengan akidah dan syariah Islam selain mengelirukan masyarakat.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In