Kjaan kaji pinjaman mudah cegah Ah Long
Kerajaan akan mengkaji semula peranan badan pengeluar pinjaman seperti Amanah Ikhtiar, Yayasan Tekun Nasional dan Bank Rakyat bagi menyediakan kaedah pinjaman yang lebih mudah untuk mencegah kegiatan Ah Long daripada berleluasa.
Kerajaan akan mengkaji semula peranan badan pengeluar pinjaman seperti Amanah Ikhtiar, Yayasan Tekun Nasional dan Bank Rakyat bagi menyediakan kaedah pinjaman yang lebih mudah untuk mencegah kegiatan Ah Long daripada berleluasa.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, langkah itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan pinjaman segera bagi mencegah kegiatan "Ah Long" yang semakin berleluasa sehingga memberi tekanan jiwa kepada peminjam.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kewangan akan meneliti semula peranan badan-badan pemberi pinjamanm seperti Amanah Ikhtiar, Yayasan Tekun Nasional dan Bank Rakyat supaya skopnya lebih luas bagi membantu golongan itu.
"Kerajaan akan pastikan peranan institusi kewangan itu supaya tiada ruang lagi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu terus berperanan menekan peminjam," katanya kepada pemberita.
Menurut laporan Bernama, beliau sebelum itu menutup satu pertandingan dikir barat di Kampung Belongan di Bachok, Kelantan malam tadi.
Sistem canggih
Baru-baru ini, negara dikejut dengan kejadian di mana tiga orang kanak-kanak meninggal dunia selepas dipaksa oleh bapanya meminum bahan peluntur, akibat tekanan daripada Ah Long.
Dr Awang Adek yang juga ahli Parlimen Bachok berkata, kegiatan Ah Long yang menekan peminjam dengan mengenakan faedah berlipat kali ganda tidak sepatutnya berlaku di negara seperti Malaysia.
Katanya, ini kerana negara mempunyai sistem kewangan yang lebih canggih dan moden berbanding negara lain.
Katanya, Kementerian Kewangan menyokong dan akan memberi kerjasama kepada usaha polis menubuhkan pasukan khas bagi menangani kegiatan Ah Long.

