Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda tetap tanding di Puteri Wangsa, di sebalik tuntutan PKR
Diterbitkan:  Feb 12, 2022 2:37 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Muda menegaskan ia akan bertanding di kerusi Puteri Wangsa di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang walaupun PKR menuntut DUN itu.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ia tetap mempertahan perjanjian dengan Amanah yang bersetuju untuk membenarkan Muda bertanding di Puteri Wangsa.

“Kami telah mengadakan perjanjian pilihan raya dengan Amanah dan DAP, kami akan mempertahankannya.

“Kami akan mempertahankan perjanjian yang kami tandatangani,” katanya pada sidang media selepas pelancaran parti itu semalam.

Ini selepas PKR kecewa dengan Amanah yang memberikan kerusi itu kepada Muda yang dianggap sebagai boleh menang.

Timbalan Ketua Penerangan PKR G Manivanan berkata partinya mahu meletakkan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis (gambar, bawah) tetapi semasa rundingan dalaman Pakatan Harapan, kerusi itu diserahkan kepada Amanah.

PKR telah melahirkan rasa terkejut bahawa Amanah kemudiannya memutuskan untuk menawarkannya kepada Muda.

Suhaizan Kayat dari Amanah, yang pada mulanya disebut-sebut bakal bertanding di Puteri Wangsa, menafikan dia berasa 'terhina' dengan keputusan partinya itu, berkata Amanah bersikap bermurah hati kerana ada cabaran yang lebih besar.

Amanah dan DAP bersetuju memberikan enam kerusi kepada Muda untuk bertanding di Johor iaitu DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Terdapat spekulasi Muda bercadang untuk meletakkan Setiausaha Agungnya Amira Aisya Abd Aziz di Puteri Wangsa.

Syed Saddiq tidak mendedahkan butiran tetapi berkata akan ada perwakilan wanita yang bermakna dalam kalangan calon Muda.

Rundingan dengan PKR masih berjalan

Rundingan Muda dengan PKR masih diteruskan tetapi telah bercelaru. PKR hanya sanggup melepaskan tiga kubu kuat Umno tetapi Muda mencari, antara lain, kerusi DUN Gambir yang disandang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Ketidakpuasan hati PKR terhadap Puteri Wangsa menambahkan lagi ketegangan. Kritikan terbuka Muda terhadap PKR juga tidak membantu rundingan.

Syed Saddiq membisu apabila ditanya mengenai status rundingan.

Katanya perkara itu sebaiknya diselesaikan secara tertutup dengan PKR.

Ahli Parlimen Muar itu juga memohon maaf atas kritikan terbuka Muda terhadap PKR.

"Kami menerimanya dan kami belajar daripadanya," katanya.

Lihat Komen
ADS