K'jaan digesa atasi kesesakan lalulintas, sebelum naikkan tol
Kerajaan digesa supaya menimbang semula keputusannya untuk membenarkan kenaikan kadar tol di lima lebuhraya di Lembah Kelang, selagi masalah kesesakan lalulintas di semua lebuhraya terbabit tidak diatasi.
Kerajaan digesa supaya menimbang semula keputusannya untuk membenarkan kenaikan kadar tol di lima lebuhraya di Lembah Kelang, selagi masalah kesesakan lalulintas di semua lebuhraya terbabit tidak diatasi.
"Selepas membayar kadar tol baru itu, pengguna lebuhraya terbabit masih berdepan dengan masalah kesesakan lalulintas," kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Khamis lalu, kerajaan telah mengumumkan kenaikan antara 20 hingga 60 peratus bagi kadar tol bagi pengguna kereta di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie berkuatkuasa 1 Januari ini.
Kadar tol LDP dinaikkan dari RM1 kepada RM1.60. Manakala kadar tol bagi lebuhraya Kesas naik dari RM1.50 kepada RM2.20.
Kadar tol bagi Lebuhraya Cheras-Kajang-Batu 9 naik dari 70 sen kepada RM1 dan 60 sen kepada 90 sen bagi Lebuhraya Cheras-Kajang Batu 11.
Tol bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak-Gombak kini dinaikkan kepada RM5 meningkat RM1. Manakala kadar tol bagi lebuhraya Kuala Lumpur-KG-Bentong dinaikkan sebanyak 50 sen kepada RM3.
Kadar tol bagi Lebuhraya Koridor Guthrie juga naik dari RM1 kepada RM1.40.
Kesesakan lalulintas
Dr Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, apabila kadar tol dinaikkan, pada masa yang sama, pihak berkuasa mesti mencari strategi baru untuk menangani kesesakan lalulintas di sepanjang lebuhraya terbabit.
"Ketika ekonomi lembab dan perniagaan pula tidak baik, kenaikan kadar baru tol ini akan membebankan rakyat," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya menimbang semula keputusannya untuk membenarkan kenaikan sehingga 60 peratus kadar tol di lebuhraya berkenaan.
"Sejak berdekad lalu, syarikat konsesi lebuhraya telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan. Kita tidak tahu apakah kandungan perjanjian tersebut.
"Kalau syarikat konsesi tidak boleh menaikkan kadar tol mengikut perjanjian tersebut, maka kerajaan terpaksa membayar pampasan," katanya.
Dr Tan berkata, antara langkah untuk mengurangkan masalah kesesakan lalulintas ialah dengan menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan awam seperti komuter, monorail, LRT dan bas.
"Tetapi, kualiti perkhidmatan ini mesti ditingkatkan, supaya ia lebih menarik kepada orang ramai untuk menggunakannya," tambahnya.

