Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hishammuddin digesa letak jawatan kerana langgar SOP
Diterbitkan:  Feb 14, 2022 10:14 AM
Dikemaskini: 2:14 AM

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mendesak Menteri Kanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada acara MIC di Johor, semalam.

Ia susulan penularan video yang menunjukkan pemimpin meredah kerumunan hadirin pada majlis pelancaran briged MIC Johor di Kota Iskandar, Johor semalam.

Antara pemimpin yang dilaporkan hadir pada majlis itu selain Hishammuddin, ialah penyandang menteri besar Johor, Hasni Mohammad dan Presiden MIC S Vigneswaran.

Yeoh berkata, Hishammuddin memegang jawatan sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, sebelum ini telah mengumumkan pelbagai SOP Covid-19 kebangsaan - termasuk ziarah umrah dan MyTravelPass - serta mengatakan bahawa pilihan raya negeri (PRN) Johor harus dijalankan dengan selamat.

"Oleh sebab itu, adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan apabila beliau sendiri didapati melanggar SOP Covid di majlis persiapan PRN Johor anjuran MIC Johor baru-baru ini.

"Walaupun Menteri Kesihatan telah mengarahkan Hishammuddin dan para pemimpin kanan BN yang lain dikenakan kompaun, Hishammuddin bagaimanapun mengakui yang beliau telah melanggar SOP dalam jawapan balas beliau kepada ciapan Twitter saya semalam," katanya.

Dalam pada itu, Yeoh berpendapat denda yang telah diarahkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk dikeluarkan terhadap pemimpin yang bersalah kerana menghadiri acara yang sama - adalah tidak memadai sebagai hukuman bagi pelanggaran Covid-19 oleh seorang tokoh kanan dalam kerajaan.

"Mengenakan kompaun sahaja tidak mencukupi terutama untuk seorang Menteri Kanan yang duduk di barisan eksekutif dan pernah dilihat menghisap vape di dalam Parlimen yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok oleh Menteri Kesihatan.

"Jika di negara lain, menteri mereka akan meletak jawatan jika didapati melanggar SOP.

"Saya berpendapat, Hishammuddin tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan dan mengumumkan SOP Covid di peringkat kebangsaan lagi," kata Yeoh sambil menambah bahawa ia adalah 'kegagalan kepimpinan yang teruk'.

"Ini adalah satu lagi tindakan cuai secara terang-terangan oleh kepimpinan BN Johor sehingga memaksa PRN diadakan ketika rakyat Johor masih belum pulih daripada kesan Covid," tambah Yeoh lagi.

Susulan video yang tular itu semalam, Khairy mengarahkan kementeriannya mengeluarkan kompaun terhadap rakan Kabinetnya Hishammuddin dan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan kerana didakwa melanggar SOP Covid-19.

Hishammuddin kemudiannya berkata dia hanya tetamu pada majlis itu, tetapi bersetuju bahawa tidak ada alasan untuk melakukan kesalahan dan akan menerima tindakan itu.

Bulan lalu, Kementerian Kesihatan turut mengenakan denda kepada penganjur majlis kerajaan yang dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas mereka gagal memastikan pematuhan SOP.

Bagaimanapun, kompaun kekal RM1,000 untuk individu.

Kementerian Kesihatan telah mendesak untuk menaikkan kompaun kepada RM10,000 pada persidangan Parlimen yang lalu tetapi ia ditangguhkan selepas bantahan daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Lihat Komen
ADS