Ketegangan antara agama tidak ditangani dengan baik, kata Anwar
Ketegangan antara agama di Malaysia tidak ditangani dengan baik oleh pihak berkuasa sehingga ia menjadi 'tidak sihat', kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketegangan antara agama di Malaysia tidak ditangani dengan baik oleh pihak berkuasa sehingga ia menjadi 'tidak sihat', kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, jabatan penguatkuasa tertentu patut dipersalahkan berkaitan ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam di negara ini.
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Anwar berkata, apabila bukan Islam merasakan hak mereka dicerobohi, orang Islam juga merasakan hak mereka turut dicabuli.
Katanya, Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menjadi subjek kontroversi antara agama sejak kebelakangan ini bertujuan untuk menghormati hak orang Islam yang mahu merujuk kes mereka kepada mahkamah syariah.
Katanya, kontroversi tersebut tidak pernah berlaku sejak sekian lamanya, sehinggalah timbul anggapan bahawa undang-undang telah melanggar hak golongan bukan Islam.
Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, apabila intrumen tersebut melanggar hak bukan Islam, maka mereka juga mempunyai hak untuk mempersoalkannya.
Forum tertutup
Beliau menegaskan bahawa penyelesaian terhadap konflik seumpama itu adalah terletak kepada wacana terbuka, tetapi bukan melalui media massa kerana mereka telah dilihat mengambil pendirian tegar dalam isu-isu seumpama itu.
Beliau memberitahu demikian ketika ditemui di majlis forum tertutup bertajuk "Demokrasi dan Kebebasan: Meja bulat antara orang Islam" anjuran bersama PKR dan badan bukan kerajaan (NGO) Jerman, Friedrich-Naumann Stiftung.
Forum tersebut dihadiri pelbagai perwakilan dari parti-parti pembangkang, NGO, ahli akademik dan Majlis Peguam.
Anwar menjelaskan, forum tersebut yang diadakan secara tertutup bagi mengelak sebarang reaksi negatif bertujuan untuk mencari penyelesaian terhadap konflik antara agama.
Para peserta, katanya, diberi kebebasan untuk membincang secara bebas dan terbuka mengenai subjek tersebut.
Kenaikan tol
Mengenai kenaikan kadar tol antara 20 hingga 60 peratus mulai 1 Januari ini, Anwar berkata kenaikan itu boleh dielakkan.
"Dalam pengalaman saya berurusan (dengan syarikat konsesi) pada tahun 90-an, saya menolak kenaikan kadar tol dan memberitahu syarikat berkenaan dan kabinet termasuk satu dua pelobi dalam kabinet bagi pihak syarikat berkenaan bahawa Perbendaharaan tidak yakin kos telah meningkat dan beban itu perlu ditanggung oleh pengguna," kata Anwar.
Anwar memberi contoh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang didakwanya mempunyai kepentingan dalam syarikat lebuhraya United Engineers Malaysia yang mencuba untuk menaikkan kadar tol, tetapi permintaannya ditolak oleh pihak Perbendaharaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata, kerajaan tiada pilihan untuk menaikkan kadar tol di lima lebuhraya di Lembah Kelang.
Abdullah berkata, beban mempunyai lebuhraya itu perlu dikongsi bersama dengan rakyat bagi membolehkan kerajaan menggunakan dana subsidi untuk kebaikan rakyat.
Bagaimanapun, berdasarkan kepada angaka kerajaan, jumlah subsidi yang terpaksa dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi itu dijangka melebihi kos sebenar pembinaan lima lebuhraya tersebut. Berita asal

