Nazri: sikap rakyat sukarkan usaha banteras rasuah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, kenaikan gaji anggota polis tidak akan menjamin kurangnya gejala rasuah di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, kenaikan gaji anggota polis tidak akan menjamin kurangnya gejala rasuah di negara ini.
Katanya, ini kerana sikap masyarakat Malaysia itu sendiri yang suka menyelesaikan masalah mereka dengan cepat, tanpa perlu menghadapi perkara yang remeh-temeh seperti berbaris menunggu giliran dan sebagainya.
"Dalam isu rasuah ini, kita jangan ingat orang yang menerima sahaja, tetapi juga mereka yang memberi, dan selagi sikap orang Malaysia tidak berubah, gejala rasuah juga sukar dibanteras," katanya ketika menjawab Senator Lee Sing Choon di Dewan Negara hari ini.
Menurut laporan Bernama, Nazri berkata, kerajaan telah mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar membuat satu kajian berkenaan rasuah di negara ini kerana kerajaan memandang serius indeks tersebut
Beliau juga berkata, amalan kerajaan sekarang yang lebih terbuka dalam isu-isu berkaitan rasuah, mungkin menjadi faktor indeks persepsi rasuah negara merosot.
Kiraan persepsi rasuah
Ekoran sikap keterbukaan itu, katanya, menyebabkan masyarakat berani membincangkan isu rasuah, dan mendapat perhatian media yang kemudiannya diambil kira dalam pengiraan indeks tersebut.
"Dulu Yang Berhormat sendiri kata, isu-isu rasuah disapu di bawah karpet. Sekarang kita liberal untuk membincangkannya, jadi lagi banyak orang bercakap lagi banyak kes rasuah (yang terbongkar)," katanya.
Menurut laporan Bernama, ketika menjawab soalan tambahan Senator Lee Sing Choon, Mohamed Nazri juga berkata, kerajan telah melakukan pelbagai perkara untuk memperbaiki kedudukan indeks tersebut tetapi persepsinya masih tetap sama.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak dapat menentukan sejauh mana ketepatan indeks tersebut memandangkan ia dibuat berdasarkan persepsi.
"Tak ada satu mekanisme yang boleh dipakai untuk tentukan keadaan sebenar. Kita ada statistik seperti jumlah yang ditangkap, dibicarakan dan disabitkan kesalahan, tetapi mungkin ia tak boleh diterima," katanya menjawab soalan tambahan Senator Tay Puay Chuan.

