Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan seorang lelaki mati mengejut dalam tahanan di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak, Selangor lewat petang, semalam.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad berkata orang kena tuduh (OKT) berusia 39 tahun itu ditangkap pada 4.45 petang semalam.
Bagaimanapun, katanya, 45 minit selepas itu, pada 5.30 petang, OKT mengaku sesak nafas.
“Pihak hospital telah dihubungi untuk membawa OKT tersebut ke Hospital Selayang, Selangor untuk mendapatkan rawatan.
"Bagaimanapun, jam 6.30 petang, OKT disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Selayang dan punca kematian masih belum diperoleh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azri berkata OKT ditahan untuk siasatan bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mempunyai dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkaitan kesalahan memiliki dadah, manakala Seksyen 15(1)(a) atas kesalahan mengambil dadah.
Azri berkata Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Rabu lepas, PDRM mengesahkan tujuh kes kematian OKT dengan satu melibatkan unsur jenayah.
Sivabalan, Ganapathy
Pada 20 Mei tahun lalu, suspek kes ugutan jenayah S Sivabalan, 43, meninggal dunia ketika hadir untuk dokumentasi waran tangkap serta dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata kematian berlaku susulan serangan jantung.
Februari tahun lalu, peniaga susu lembu A Ganapathy, 40, juga meninggal dunia ketika dirawat di hospital selepas ditahan polis.

Pada 11 Mac lalu, ibu mendiang, S Thanaletchumy, 60, membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak berhubung dakwaan anaknya dipukul ketika dalam tahanan.
Pada 30 April tahun lalu, ketua polis daerah Gombak ketika itu Arifai Tarawe berkata siasatan awal mendapati Ganapathy tidak pernah membuat aduan dipukul oleh pihak polis, sama ada kepada majistret atau pegawai perubatan yang merawatnya.
Bagaimanapun, Arifai ketika itu berkata siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya.
