mk-logo
Berita
Cara kerajaan urus Covid-19 sekarang mencurigakan, kata Lim
Diterbitkan:  Feb 15, 2022 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Tindakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membela salah seorang menteri kanannya yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan alasan "tidak masuk akal" mengundang kecurigaan tentang tahap sebenar ancaman wabak itu, kata Lim Guan Eng.

Menurut ahli parlimen Bagan itu, kesalahan dilakukan Pengerusi Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19, Hishammuddin Hussein, adalah serius kerana ahli parlimen Sembrong itu melanggar peraturan yang ditetapkannya sendiri untuk orang awam.

Pada masa sama, kata Lim, sudah 100 hari berlalu sejak Ismail Sabri mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 kali terakhir iaitu pada 5 Nov tahun lalu.

"Jika gelombang ketiga pandemik Covid-19 adalah satu ancaman yang serius, mengapa tiada mesyuarat diadakan untuk jawatankuasa tertinggi di peringkat kebangsaan sejak 100 hari yang lalu?

"Atau adakah sikap sambil lewa Ismail Sabri dan menterinya disebabkan oleh pandemik Covid-19 sudah menjadi endemik seperti selesema biasa?

"Ini menimbulkan syak wasangka tentang tahap sebenar gelombang terbaru jangkitan Covid-19 dan sama ada ia telah dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memanfaatkan kepentingan sesetengah parti, terutama pada PRN Johor akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Benarkan ceramah awam

Hishammuddin adalah antara orang kenamaan yang dikenakan kompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana didapati melanggar SOP apabila hadir dalam majlis pelancaran Briged MIC Johor di Kota Iskandar, Johor pada 13 Feb lalu.

Selain Hishammuddin, ia turut dihadiri Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, dan Presiden MIC S Vigneswaran.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sehari kemudian membela Hishammuddin dengan berhujah, ahli parlimen Sembrong itu cuma melanggar SOP, bukannya melakukan jenayah.

Justeru kata Ismail Sabri, Hishammuddin tidak perlu meletakkan jawatan.

Kata Lim jika menteri boleh melanggar SOP dan hanya denda RM1,000, tidak ada yang akan menghalang penganjur acara lain daripada menganjurkan majlis seumpama itu.

"Bagi memastikan kesaksamaan dan keadilan, acara dan ceramah awam seperti itu harus dibenarkan dan dibuka kepada semua sama ada dalam arena politik atau perniagaan," katanya.

Justeru, tambah Lim, tindakan yang wajar diambil oleh Hishammuddin ialah meletak jawatan.

"Bagaimana Hishammuddin boleh menarik perhatian orang ramai tentang betapa seriusnya Covid-19 dan keperluan untuk mematuhi SOP jika dia sendiri tidak menunjukkan kepimpinan melalui teladan malah secara terang-terangan melanggar protokol yang diperkenalkannya sendiri?

"Apabila seorang penggubal undang-undang bertukar menjadi pelanggar undang-undang seperti yang terjadi kepada Hishamuddin dan Hasni Mohammad (menteri besar Johor), mereka perlu meletakkan jawatan," katanya.

Lihat Komen
ADS