Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Premier Sarawak: Macam jenama tisu - pembangkang
Diterbitkan:  Feb 15, 2022 5:25 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Pembangkang menentang cadangan untuk menukar nama ketua menteri Sarawak kepada premier atas alasan syok sendiri, mengelirukan serta seperti jenama tisu.

"Kenapa perlu menggunakan nama itu yang sama dengan jenama kertas tisu?" Violet Yong (DAP-Pending) dipetik sebagai berkata sambil menunjukkan kotak produk itu.

Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 berkaitan pertukaran itu diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Jenama tisu yang dirujuk oleh Violet Yong, gambar hiasan

Dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah, RUU itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokong.

Hanya enam wakil rakyat menentang.

Abdul Karim berkata pindaan itu selari dengan amalan negara-negara Komanwel apabila ketua persekutuan digelar perdana menteri, ketua wilayah membentuk persekutuan digelar premier dan subwilayah atau negeri lain diketuai oleh ketua menteri.

‘Tiada manfaat, mengelirukan media’

Sementara itu, Berita Harian melaporkan perbahasan sedikit panas apabila Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) menyifatkan pindaan Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak bagi menggantikan terma pemimpin nombor satu Sarawak itu sebagai syok sendiri.

Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, tiada keperluan untuk menukar gelaran itu hanya untuk menunjukkan perbezaan status pemimpin Sarawak berbanding negeri lain dan tidak memberi apa-apa manfaat.

Chong Chieng Jen

Malah, katanya, terma itu menimbulkan kekeliruan terhadap media berkaitan istilah sesuai dalam Bahasa Melayu, sama ada perdana atau perdana menteri.

Sementara itu, Baru Bian (PSB-Ba'kelalan) pula berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu sebelum menukar terma jawatan itu.

"Di dalam Perlembagaan Persekutuan, ketua eksekutif bagi Sarawak masih disebut sebagai ketua menteri, jadi jika mahu menukarnya, perlu pinda dahulu Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Lihat Komen
ADS