Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada apa dengan daftar pemilih SPR, tanya Fuziah
Diterbitkan:  Feb 16, 2022 11:43 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Fuziah Salleh mempersoalkan bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mewartakan sesuatu data yang melibatkan lebih 5.8 juta pengundi ketika tetapi kesahihanya diragukan.

Lebih membimbangkan, kata ahli parlimen Kuantan itu lagi, amalan menyediakan Rang Daftar Pemilih Tambahan setiap suku tahun oleh SPR kini didapati tidak lagi diteruskan.

“Daftar pemilih tambahan (DPT) terpaksa dibeli oleh parti politik dengan kos yang mahal.

“Parti politik tidak lagi dibenarkan menyemak kesahihan daftar tambahan dalam bentuk rang yang dipamerkan.

“Kini kami dipaksa untuk terima dan dipaksa pula untuk kami membeli pada harga yang mahal untuk tujuan semakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Fuziah, SPR sebelum ini menyediakan rang daftar pemilih tambahan setiap suku tahun untuk dipamerkan kepada awam serta dibekalkan secara percuma untuk disemak oleh parti-parti politik atau individu membuat bantahan sebelum ia diwartakan.

“Saya menggesa SPR membuat kenyataan secara terbuka berkenaan integriti data yang telah diwartakan itu.

"Bagaimana SPR boleh mewartakan sesuatu data melibatkan lebih 5.8 juta pengundi tetapi dikhuatiri kesahihannya?

“Adakah Pilihan Raya Negeri Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac ini akan dikompromi keputusannya kerana terdapat irregularities (sesuatu yang tidak kena) pada daftar pemilih yang telah diwartakan?” soalnya.

Fuziah turut menyentuh berkenaan aduan data yang tidak masuk akal, seperti Deceased dan Expired yang digunakan sebagai nama pemilih.

“Adakah ianya disebabkan data berkenaan terdapat kesalahan atau ia disebabkan SPR tidak mahu membekalkan senarai tersebut kepada pihak pembangkang? Atau apa sebenarnya?

“Berkali-kali pihk unit data PH tidak dibenarkan membeli DPT BLN12/2021 (daftar pemilih tambahan) dengan pelbagai alasan,” katanya.

Sementara itu semakan Malaysiakini mendapati memang ada seorang pengundi - lahir pada 1982 - dinamakan sebagai Deceased pada laman sesawang SPR.

Bagaimanapun pengundi yang dikatakan Fuziah sebagai Expired memiliki nama yang wajar selepas semakan lanjut dibuat.

Lihat Komen
ADS