Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ingat bidas k'jaan tak bertindak isu tukar agama sepihak

Pengerusi Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy membidas kerajaan kerana tidak bertindak terhadap isu penukaran agama secara sepihak sejak Mahkamah Persekutuan membuat keputusan penting mengenai perkara itu pada 2018.

Mengulas kes membabitkan Loh Siew Hong, Arun mempersoalkan mengapa kerajaan gagal menubuhkan agensi untuk menguatkuasakan perintah Mahkamah Persekutuan berkenaan.

“Selepas perintah Mahkamah Persekutuan 2018 mengenai kes Indira Gandhi, sepatutnya ada agensi untuk pergi ke semua negeri ini dan meminta agensi negeri masing-masing untuk memansuhkan dan meminda enakmen ini yang bercanggah dengan Perlembagaan, tetapi mereka tidak berbuat demikian.

"Jadi, kerajaan persekutuan nak tutup sebelah mata.

"Mereka ada lebih daripada empat tahun sekarang untuk membetulkan semua perkara ini tetapi kita masih ada lebih sembilan negeri yang masih membenarkan penukaran agama unilateral," kata Arun.

Dia mendakwa bagi setiap satu kes yang dibawa ke mahkamah, berkemungkinan terdapat 500 kes yang tidak berbuat demikian.

Selaku pengerusi Pusat Perkhidmatan Hindu, dia berkata dalam masyarakat Hindu sahaja, terdapat kira-kira 2,000 kes penukaran agama secara sepihak.

“Peranan kerajaan persekutuan adalah untuk memansuhkan undang-undang ini. Mengapa mereka tunggu? Apa yang mereka tunggu? Krismas?” sindirnya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

'Indira Gandhi 2.0'

Pengerusi Ingat itu menyifatkan kes Loh hampir meryerupai kes membabitkan Indira Gandhi.

“Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur hanya boleh dibenarkan dengan kebenaran kedua-dua ibu dan bapa.

“Bagaimanapun, masih terdapat negeri, iaitu kira-kira sembilan negeri di Malaysia, yang masih membenarkan penukaran agama sepihak berdasarkan enakmen mereka - enakmen syariah - yang membenarkan penukaran unilateral.

“Dalam kes ini, negeri Perlis membenarkan penukaran agama secara sepihak, walaupun penukaran unilateral adalah tidak berperlembagaan di kesemua sembilan negeri ini,” kata Arun.

Sebagai seorang ibu, Indira pernah menghadapi situasi yang sama seperti Loh.

Anak perempuan Indira, Prasana, masih bayi apabila bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah, atau nama sebelum Islam K Pathmanathan, melarikannnya pada 2009 selepas memeluk agama itu.

Riduan dan Indira kemudian berebut hak penjagaan anak di mahkamah selepas Riduan secara sepihak mengislamkan Prasana dan dua lagi anak mereka.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral adalah menyalahi undang-undang kerana keputusan sedemikian memerlukan kebenaran daripada kedua-dua ibu dan bapa.

Arun mencadangkan agar Loh memberikan keutamaan untuk membatalkan penukaran agama anak-anaknya terlebih dahulu.

“Sama ada anak-anak itu kekal dalam Islam, kita serahkan kepada keluarga untuk membuat keputusan.

“Kita bukan sesiapa untuk membuat keputusan - bagaimanapun, penukaran secara sepihak mereka adalah terbatal dan tidak sah, mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan, jadi dia perlu membatalkannya sekarang.

“Loh perlu memfailkan kes terhadap Jabatan Agama Islam Perlis untuk membatalkan penukaran agama itu terlebih dahulu,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS