Paling Popular
Terkini

ULASAN | Ketika saya mempersembahkan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai mewakil 55 warga yang dikenali ramai di Malaysia bagi mencadangkan penubuhan Better Malaysia Assembly (BMA) sebagai usaha pembaharuan negara, tercetus pendapat yang menyokong atau menolak idea itu di media arus perdana dan media sosial.

Itulah reaksi yang saya harapkan. Persidangan BMA memerlukan sokongan ikhlas masyarakat, yang hanya tercapai sekiranya dikupas menerusi perdebatan dan kritikan terbuka.

Menerusi proses ini, kami juga menyambut idea dan cadangan penambahbaikan daripada para pengulas.

Namun, saya tidak menjangka rintihan segolongan pihak yang mendakwa bahawa BMA merupakan suatu amalan elitis yang menyebabkanb proses demokrasi sedia ada merosot.

Golongan ini mungkin terlalu tertumpu kepada beberapa nama dalam senarai 55 penandatangan surat BMA, dan bukannya pada kandungan surat tersebut.

Ternyata bahawa 55 penandatangan tersebut - yang terdiri daripada tokoh dikenali ramai dengan latar belakang berbeza - hanyalah menyatakan sokongan mereka kepada idea BMA.

Warkah tersebut tidak menyatakan atau membawa apa-apa harapan bahawa para penandatangannya akan terlibat dalam persidangan BMA. Sebaliknya, tatacara pemilihan ahli BMA telah dijelaskan.

Berlaku salah faham

Jika diteliti, para penandatangan itu bukanlah pakatan elit tetapi terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia, seperti bekas ahli politik, penjawat awam, tokoh perniagaan, tokoh NGO, aktivis belia (seperti pengasas Undi18), dan ahli kesatuan sekerja (termasuk setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank).

Kami berusaha supaya senarai penandatangan meliputi pelbagai pandangan dan pegangan. Ada waktunya sukar untuk meyakinkan sesetengah daripada penandatangan untuk melibatkan diri kerana pendirian mereka yang bercanggah dalam isu-isu lain yang menimbulkan perbalahan.

Tetapi itulah sebenarnya apa yang kami cuba buktikan: rakyat Malaysia perlu rela berkongsi platform dengan individu yang mereka tidak persetujui - malah tidak suka - demi mencari jalan penyelesaian dan kompromi untuk menggerakkan negara kita ke hadapan.

Maka, golongan yang membantah cadangan BMA kerana tidak menyenangi sebilangan nama dalam senarai penandatangan telah tersalah faham.

Semangat berkompromi dan bermuafakat yang mendasari cadangan BMA bermakna setiap orang akan mengenal pasti nama dalam senarai penandatangan yang bersependapat dan tidak.

Gambaran BMA sebagai elitis juga jauh tersasar. BMA merupakan persidangan yang membolehkan rakyat jelata, pakar bidang khusus, wakil masyarakat dan lain-lain berkongsi pandangan dan membincangkan isu-isu sistemik utama.

Mereka kemudian mengesyorkan pembaharuan untuk dipertimbangkan oleh parlimen.

BMA sebenarnya bertentangan dengan elitisme, kerana persidangan ini meluaskan penglibatan rakyat dalam pembahasan perkara-perkara yang mustahak bagi negara.

Platform rakyat mengambil bahagian

Walaupun sudah menjadi kebiasaan untuk kerajaan menubuhkan majlis penasihat dan jawatankuasa, BMA pula harus menjadi ikhtiar kolaboratif yang melibatkan badan eksekutif, legislatif, masyarakat sivil dan pihak istana, supaya platform BMA bersifat - dan turut dilihat bersifat - bebas serta tidak terikat kepada mana-mana institusi atau cabang kerajaan.

Turut menghairankan ialah dakwaan bahawa BMA seolah-olah ketinggalan zaman kerana merujuk kepada Majlis Perundingan Negara yang ditubuhkan pada tahun 1970.

Kita tidak seharusnya segan menggunakan semula idea yang baik dari masa lalu. Tambahan pula, BMA sebenarnya menyeru Malaysia supaya memperkenalkan "demokrasi berperundingan". Ia merupakan salah satu topik terkini dalam kajian dan aplikasi konsep demokrasi.

Menurut Pertubuhan Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) antara 1979 dan 2021, terdapat 566 platform rundingan di seluruh dunia.

Platform tersebut membolehkan rakyat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dan mengemukakan cadangan kepada badan legislatif mengenai pelbagai isu, daripada perbandaran kepada persoalan perlembagaan, mengikut terma perbincangan masing-masing.

Jauh sekali daripada konsep lapuk, platform-platform tersebut menampilkan evolusi demokrasi yang bertujuan menangani defisit kepercayaan terhadap ahli politik dan pegawai yang diundi yang wujud di seluruh dunia.

Seperti yang dinyatakan ahli sains politik Harvard, Hélène Landmore: "Sejarah demokrasi merupakan sejarah pemerluasan hak mengundi." Pembangunan sistem pemerintahan untuk membolehkan rakyat mengambil bahagian dalam mencari penyelesaian kepada persoalan rumit negara secara bertanggungjawab dan representatif semakin popular, akibat kepincangan sistem demokrasi yang bergantung semata-mata kepada wakil rakyat yang dikuasai oleh parti politik.

Dengan adanya demokrasi berperundingan, ia tidak bermaksud wakil rakyat menjadi tunggul. Sebaliknya konsep demokrasi deliberatif meningkatkan keberkesanan wakil rakyat dengan menyediakan pelbagai perspektif dan pandangan.

Reka bentuk sidang-sidang rakyat bersifat inklusif ialah: wakil wakil dipilih melalui proses yang akan membawa kepada kumpulan peserta yang pelbagai latar dan lebih representatif.

Ia ternyata berbeza daripada demokrasi perwakilan, apabila kita hanya memilih individu yang dicalonkan oleh parti politik dan individu tersebut sering terpaksa akur dengan arahan whip parti.

Gabungan perspektif dan pandangan rakyat, bersama dengan input daripada pakar teknikal dan profesional, membekalkan kepelbagaian kognitif yang membantu usaha mencari penyelesaian dan kompromi.

Dibentang di parlimen

Pembentangan syor-syor persidangan rakyat kepada parlimen bererti demokrasi deliberatif sama sekali tidak meruntuhkan demokrasi perwakilan bahkan mengukuhkannya.

Terdapat beberapa kajian kes demokrasi deliberatif yang berjaya. Di Ireland, sidang-sidang rakyat dijalankan untuk membincangkan isu-isu perundangan dan dasar yang penting, seperti hak wanita berkenaan pengguguran janin, gerak balas terhadap cabaran populasi semakin tua, perubahan iklim, dan mutakhir, kesaksamaan jantina.

Ahli-ahli sidang dipilih daripada daftar pengundi secara rawak untuk mencerminkan masyarakat sebenar Ireland.

Mereka bersidang dalam satu tempoh yang ditetapkan untuk membincangkan isu-isu dalam agenda serta mempertimbangkan penghujahan daripada orang awam dan kumpulan penasihat pakar.

Syor-syor persidangan kemudian dibentangkan dalam Parlimen Ireland untuk mendapatkan maklum balas rasmi, yang wajib dikemukakan. Maklum balas rasmi terhadap syor-syor persidangan termasuk jawapan parlimen daripada kementerian berkaitan, dan penubuhan jawatankuasa bersama mengenai isu yang dibangkitkan untuk siasatan lebih lanjut.

Dalam isu pengguguran janin, satu referendum - atau pungutan suara - untuk meminda Perlembagaan Ireland diadakan berikutan penemuan Jawatankuasa Parlimen. Kebanyakan warga Ireland mengundi menyokong syor persidangan.

Di Perancis, susulan protes Rompi Kuning (Yellow Vest) pada 2018, Presiden Emmanuel Macron menubuhkan Konvensyen Rakyat Berkenaan Iklim, yang merupakan salah satu daripada langkahnya menggalakkan proses penggubalan dasar yang lebih inklusif.

Konvensyen tersebut dipertanggungjawabkan dengan satu mandat: untuk menentukan langkah-langkah yang dapat menurunkan pengeluaran gas rumah hijau Perancis sekurang-kurangnya 40 peratus menjelang 2030, yang kemudiannya akan diundi di parlimen.

Seramai 150 ahli dipilih secara rawak untuk mengambil bahagian, dan sepanjang tujuh sesi hujung minggu diadakan, mereka menerima penghujahan daripada saintis dan pakar, membincangkan isu-isu, dan menyediakan satu set langkah untuk diserahkan kepada kerajaan.

Walaupun Macron pada mulanya berjanji bahawa langkah-langkah tersebut akan dibentangkan 'tanpa ditapis', rang undang-undang iklim yang diperkenalkan di parlimen hanya memasukkan 40 peratus daripada cadangan asal.

Untuk matlamat nasional

Di Chile, Konvensyen Perlembagaan yang mempunyai 155 orang ahli sedang merangka perlembagaan baru, termasuk peruntukan-peruntukan luas mengenai penyertaan awam.

Konvensyen tersebut ditubuhkan melalui referendum awam, dan ahlinya dipilih melalui pilihan raya. Sebanyak 68 peratus adalah calon bebas (termasuk kerusi yang dikhaskan untuk komuniti pribumi), manakala orang ramai boleh mengemukakan dan menyokong cadangan melalui platform penyertaan digital.

Dengan mengambil kira pelbagai perkara perbincangan, ahli konvensyen perlu menggubal dan meluluskan perlembagaan baru dalam tempoh sembilan bulan, yang kemudiannya mesti disahkan melalui referendum.

Kajian-kajian kes ini menunjukkan bahawa penyertaan awam yang lebih mendalam dalam penggubalan dasar melalui platform deliberatif digunakan untuk mengetengahkan isu-isu penting kepada rakyat, dalam kes apabila wakil rakyat tidak dapat atau tidak mahu berbuat demikian.

Sudah tentu, terdapat contoh demokrasi deliberatif lain di seluruh dunia yang berkisar tentang isu-isu tempatan seperti undang-undang lalu-lintas dan penggunaan air, tetapi seperti yang kita lihat, demokrasi deliberatif juga boleh digunakan dengan berkesan untuk matlamat nasional yang substantif.

Sebahagian besar pengulas bersetuju bahawa Malaysia - jika dibandingkan dengan negara lain - merupakan sebuah negara yang semakin mundur, dan sesuatu perlu dilakukan. Mereka menyedari hakikat bahawa daya hidup dan dinamisme negara kita terjejas.

Kita semua mahu negara yang mampu bangkit dari wabak ini dan mencakupi peluang baru yang bakal muncul. Namun harapan tersebut sukar dibayangkan, memandangkan wacana awam yang dipenuhi konflik dan pendekatan masa dahulu terhadap isu masa kini.

Seelok-eloknya kita berikhtiar meluaskan ufuk minda dan memperkasakan semua rakyat Malaysia untuk berdikari dan berkeyakinan di pentas dunia. Sebaliknya apa yang kita lihat menerusi institusi kerajaan adalah pemesatan dasar tindakan afirmatif masa dahulu yang memanjakan golongan penerima dan mengecewakan golongan lain.

Kita menyaksikan akibat dasar-dasar tersebut setelah berleluasa selama beberapa dekad dan generasi: amalan rasuah yang tersebar, budaya biasa-biasa sahaja, dan brain drain yang semakin parah apabila terlalu ramai rakyat Malaysia dari pelbagai latar giat meninggalkan hujan batu di negara sendiri untuk mencari hujan emas di negara orang.

Hakikat ini tidak bermaksud Malaysia tidak lagi perlu tindakan afirmatif; sebaliknya, perlu membincangkan dasar tersebut. Kita perlu bertanya sama ada Dasar Ekonomi Baru masih perlu.

Sekiranya perlu, siapa yang memerlukannya? Apaka cara terbaik untuk menyediakannya, dan bagaimana untuk mengurangkan kesan sampingannya?

Pada masa yang sama, kita perlu menilai impak apa-apa perubahan dalam dasar tindakan afirmatif terhadap pihak-pihak berkepentingan.

Beginilah pendekatan BMA terhadap dasar tindakan afirmatif. BMA akan mempertimbangkan keadilan, secara keseluruhan, pakej pembaharuan yang disyorkan, termasuk syor yang berkaitan dengan pendidikan, sekolah vernakular, pilihan raya, peranan dan kebebasan institusi, integrasi nasional dan pembendungan rasuah.

Kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa masyarakat Malaysia kekal terpisah mengikut garis etnik. Maka kesan pembaharuan terhadap kaum-kaum berbeza wajar dinilai dan disokong oleh justifikasi kukuh sebagai ikhtiar membina Malaysia dan bangsa Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

Saya tidak menjangka BMA atau mana-mana sidang rakyat merupakan penawar serba mujarab untuk semua masalah negara.

Apa yang dicadangkan ialah pengamalan demokrasi berperundingan dan pewujudan ruang yang selamat untuk rakyat Malaysia mengadakan perbualan yang jujur dan bermakna antara satu sama lain mengenai perihal kebangsaan, dan mencadangkan penyelesaian yang lebih baik untuk isu-isu yang paling diperselisihkan.

Ia kemudiannya dikemukakan kepada wakil rakyat supaya dipertimbangkan, dibahaskan dan dilaksanakan bagi memperbaikkan bangsa Malaysia.

Cadangan BMA merupakan cadangan untuk membantu membetulkan arah negara kita. BMA bukannya terjamin sebagai cara terbaik untuk mara ke hadapan, tetapi kami perlu cara baharu, dan cadangan BMA disokong oleh 55 orang rakyat Malaysia dikenali ramai.

Berdasarkan reaksi awal masyarakat, ternyata ramai lagi rakyat Malaysia bersetuju dengan kami. Kepada mereka yang tidak bersetuju, saya berminat untuk memahami sama ada anda berpuas hati dengan arah semasa negara kita, atau mempunyai idea yang lebih baik untuk diusahakan.

Itulah wacana konstruktif yang perlu diadakan pada peringkat ini.


NAZIR RAZAK ialah bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB. Dia juga mengusahakan penubuhan BMA.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS