Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi ingatkan rakyat tentang 'pemimpin yang dapat dibeli'
Diterbitkan:  Feb 19, 2022 6:48 PM
Dikemaskini: 11:46 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi peringatan bahawa rakyat yang memilih pemimpin kerana politik wang, pasti akan menyebabkan negara terjerumus ke dalam kemusnahan.

Katanya, hal itu kerana politik wang adalah satu bencana yang akan disusuli dengan penyakit rasuah, seterusnya mengundang pelbagai kemungkaran yang datang bertalu-talu.

“Apabila 'pagarnya memakan padi' serta apabila rakyat dibeli dan pemimpin juga dapat dibeli.

“Seterusnya, diikuti dengan penyakit masyarakat yang datang secara bertalu-talu dan bertali arus sehingga memusnahkan semuanya, khususnya apabila ia turut merosakkan pembangunan termasuk alam sekitar.

“Adalah mustahil negara yang masih mengamalkan politik wang dapat menghapuskan rasuah, kerana wabaknya menjadi payung negara.

“Pencegahannya sekadar laksana menampar nyamuk di kawasan yang dibiarkan longkangnya terdedah sehingga membiakkan nyamuk berkali ganda banyaknya,” katanya dalam siri terbaru catatan Minda Presiden PAS di Facebooknya.

Dia memberikan contoh bagaimana amalan politik wang - yang akhirnya menjadi amalan rasuah - menjadi salah satu sebab bangsa Yahudi menjadi kumpulan paling dimurkai Allah.

Antaranya kisah bagaimana kaum itu menolak raja berintegriti yang dilantik Allah hanya kerana tidak memiliki harta kekayaan.

“Rakyat yang memilih pemimpin kerana politik wang yang berkonsepkan kebendaan pasti akan menempah kemusnahannya.

“Hal ini berlaku setelah urusan mereka dijual beli dengan rasuah dan penipuan, semata-mata untuk mengejar kemewahan yang melampau kerana sudah tidak bermoral lagi,” katanya.

Sebaliknya, kata Abdul Hadi, integriti adalah syarat penting dalam memilih pemimpin mendahului harta, kerana harta boleh dihasilkan dengan sahsiah berintegriti, namun tanpa integriti, pemimpin tidak akan mampu menguruskan harta dan masyarakat.

Bahkan, katanya, negara yang ditegakkan dengan harta tanpa iman dan takwa, serta bergantung pada integriti palsu adalah terlalu rapuh, tidak mampu bertahan lama, dan akan runtuh bila-bila masa.

“Ilmu tanpa integriti menjadikan seseorang itu penipu, semuanya akan merosakkan diri, masyarakat dan negara.

“[...] Allah SWT melaknat pelaku, penerima, pemberi dan semua yang terlibat dengan rasuah, termasuklah rakyat yang melantik atau mengundi pemimpin dengan rasuah dan memilih yang mengamalkan rasuah,” tegasnya.

Dia turut membawakan perkisahan daripada al-Quran bagaimana manusia menyesal pada hari kiamat kerana bersekongkol dengan pemimpin yang salah, termasuklah yang mengamalkan politik wang.

“Ketahuilah bahawa urusan politik juga akan dihisab pada hari kiamat kelak kerana kuasa politik itu adalah menaungi kehidupan manusia,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS