Demonstrasi anti-kenaikan tol 7 Januari depan
Beribu-ribu pengguna jalanraya dijangka menyertai demonstrasi anti-kenaikan tol pada 7 Januari depan di plaza tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) bandar Sunway, Selangor.
Beribu-ribu pengguna jalanraya dijangka menyertai demonstrasi anti-kenaikan tol pada 7 Januari depan di plaza tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) bandar Sunway, Selangor.
Bantahan besar-besaran itu akan disertai oleh ahli-ahli parti pembangkang, kesatuan sekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai.
Pengerusi jawatankuasa bantahan kenaikan tol, Syed Shahir Syed Mohamad berkata, sebelum mengadakan demonstrasi tersebut, pada 27 Disember ini, pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan ke pejabat Perdana Menteri.
Jawatankuasa berkenaan membuat keputusan itu dalama satu mesyuarat di ibunegara malam tadi. Turut menyertai jawatankuasa itu ialah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, Bendahari PAS, Hatta Ramli dan Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh, Teresa Kok.
Bercakap kepada media selepas mesyuarat tersebut, Syed Shahir berkata, antara lain memorandum tersebut katanya, mendesak kerajaan mendedahkan butiran perjanjian tol dengan konsesi kepada umum supaya rakyat mengetahui keadaan sebenar projek pembinaan tol di negara ini.
Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia ( MTUC) juga berkata, kesatuan itu menghantar ramai ahlinya ke program tersebut.
Pemuda PAS pula dijangka menghantar antara 5, 000 dan 10,000 ahlinya untuk menyertai bantahan kenaikan tol itu.
Beban pengguna
Menurut ketuanya, Salahuddin Ayub, Pemuda PAS sangat prihatin dengan kenaikan tol yang membebankan pengguna jalan raya terutama yang berpendapatan rendah.
"Mereka baru menanggung beban akibat kenaikan harga minyak dan kini tidak sampai setahun terpaksa membayar tol yang lebih mahal," katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kenaikan tol yang berterusan sebenarnya tidak perlu kerana pemegang konsesi lebuh raya telah mendapat keuntungan besar kerana pertambahan kenderaan setiap tahun.
"Nampaknya kenaikan tol sudah menjadi satu trend yang tidak dapat dielak di negara ini," katanya lagi.
Katanya, orang sudah bosan dengan alasan pihak berkuasa setiap kali mahu menaikkan kadar tol .
Sementara itu Ahad lalu, dalam satu majlis di Petaling Jaya, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan kadar tol berlaku kerana ada unsur-unsur rasuah dalam perjanjian di antara konsesi dengan kerajaan.
Katanya, proses penjanjian tol yang dibuat oleh tiga pihak iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan konsesi lebuh raya boleh dipersoalkan.
Menurutnya, semasa beliau menjadi Menteri Kewangan, konsesi datang melobi untuk menaikkan kadar tol beliau tetap menolak kerana ia amat membebankan pengguna jalan raya.

