Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ibu bapa kepada bayi lelaki yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Kota Bharu, yang didakwa disebabkan kecuaian, akan menyaman pihak hospital.

Rosilawati Ismail, 26, berkata tindakan undang-undang itu akan diambil sebagai pembelaan terhadap kematian anak tunggalnya, Muhammad Hilman Firdaus Muhammad Hilmi yang berusia dua bulan pada Jumaat minggu lepas. 

Dakwanya, terdapat beberapa perkara yang mereka tidak berpuas hati ketika anaknya menerima rawatan termasuk isu susu yang diberikan hampir tamat tempoh selain anaknya diberi ubat tidur tanpa keizinan.

"Apa yang saya lakukan ini adalah demi pembelaan kepada kematian anak saya dan ketidakpuasan hati terhadap pihak hospital yang merawat anak.

"Walaupun pihak hospital sendiri sudah bertemu dengan kami untuk menjelaskan apa yang berlaku, namun kami tidak berpuas hati terhadap penjelasan yang diberikan. 

“Sehingga kini punca kematian anak kami belum dimaklumkan kepada kami dan pihak hospital memaklumkan perlu menunggu sehingga dua bulan," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Rosilawati tidak mendedahkan sama ada sudah melantik peguam. Saman itu, katanya, akan difailkan dalam masa terdekat.

Terdahulu media melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap semua pihak yang terbabit berhubung kematian bayi tersebut.

Semalam, Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata pihaknya akan bertemu dengan waris susulan dakwaan kecuaian mereka itu.

Katanya, hospital telah menjalankan siasatan melibatkan pakar perubatan, doktor serta jururawat yang bertanggungjawab merawat bayi itu. 

Bagaimanapun, katanya, hasilnya masih tidak dapat diedahkankan dan hanya dimaklumkan kepada waris.

Video berkaitan kes kematian itu sebelum ini tukar di media sosial dengan  tontonan melebihi 60,000, setakat semalam.

Ciri- birit pada 5 Feb

Menceritakan apa yang berlaku, Rosilawati berkata, anaknya mengalami cirit-birit pada 5 Februari dan dibawa ke klinik sebelum dirujuk ke HRPZ II dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (Picu).

Kemudian katanya, pada 8 Februari keadaan cahaya pertama mereka itu semakin baik dan dipindahkan ke wad biasa. 

"Ketika berada di wad biasa itu, doktor meminta saya menukar kepada susu yang dibekalkan pihak hospital dengan alasan anak saya mengalami alahan.

"Saya dapati tarikh luput pada tin susu berkenaan bertarikh 12 Februari iaitu hampir tamat. Malah, ketika saya membancuh susu itu kelihatan seperti sudah basi.

"Apabila saya bertanyakan kepada doktor yang merawat anak saya berkaitan isu itu, doktor memaklumkan susu itu masih boleh digunakan sekiranya ia belum berkulat," katanya yang tampil membuat laporan polis pada Sabtu lalu.

Susulan itu dia mendapati anaknya kembali tidak sihat selepas beberapa hari sebelum diberi ubat tidur tanpa kebenaran.

"Anak saya juga perlu berpuasa selama lima hari bermula 15 Februari dengan alasan perut anak perlu direhatkan dan anaknya meragam serta menangis kelaparan. Ketika itu saya rasa tidak sedap hati dan tidak berpuas hati sekali gus saya memohon untuk memindahkan anak ke hospital lain, namun tidak dibenarkan.

"Pada tengahari 18 Februari, saya sempat buat panggilan video dengan kakak yang menjaga anak dan tengok anak saya menangis dengan keadaan lemah sebelum anak saya disahkan meninggal dunia jam 4.30 petang pada hari yang sama," kata Rosilawati.

Sementara itu dia tidak mendedahkan butiran tindakan yang bakal diambil dan mereka menyerahkan perkara itu kepada peguam yang dilantik.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi hospital berkaitan perkembangan terbaru ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS