Jabatan Kesihatan Perak berkata penularan wabak Covid-19 di Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng adalah terkawal berikutan kadar jangkitan baru menurun dan semua pelajar kolej telah diberi vaksin sepenuhnya.
Ini berlaku selepas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dikritik kerana menyatakan pada Isnin bahawa jangkitan Covid-19 di kolej itu terkawal dan tiada kes baru dikesan pada 20 Feb.
Dalam satu kenyataan, pengarah jabatan kesihatan negeri Dr Ding Lay Ming menggariskan pelbagai usaha yang dilaksanakan pejabat kesihatan daerah Kampar dan jawatankuasa pengurusan bencana daerah untuk mengurangkan penularan wabak itu.
Kes pertama Covid-19 di situ dikesan pada 7 Feb, dua hari selepas seorang pelajar pulang dari cuti perayaan Tahun Baru Cina.
"Melalui pengesanan kontak yang dijalankan, secara kumulatifnya, sehingga 21 Februari 2022, seramai 394 kes telah dikesan (13.2% daripada jumlah pelajar).
"Daripada jumlah ini, seramai 340 kes dikesan positif melalui ujian RTK Ag Saliva kendiri manakala 54 lagi kes didapati positif melalui ujian rt-PCR dan RTK Ag profesional," katanya dalam kenyataan media pada 22 Feb.
Menurutnya, individu yang dijangkiti telah diasingkan di kediaman kolej di lokasi yang berasingan.
Sebanyak 311 atau 10.4 peratus daripada jumlah pelajar yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes Covid-19 ditempatkan di tiga blok kediaman berasingan, katanya.
"Laporan yang diterima menunjukkan bahawa kesemua pelajar di kolej tersebut telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, dan seramai 12 peratus dari jumlah tersebut telah mendapatkan suntikan dos penggalak.
"Kesemua kes positif yang dilaporkan setakat ini hanya mengalami gejala ringan pada kategori 1 dan 2," tambahnya.
Kata Ding, pejabat kesihatan dan jawatankuasa pengurusan bencana juga menjalankan pelbagai penglibatan dengan pengurusan kolej untuk membantu kawalan kes Covid-19 dan pengasingan pelajar.
"Aktiviti Penilaian Risiko dan Situasi (Risk & Situational Analysis, RSA) juga telah dijalankan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh kluster dan kali terakhir dijalankan pada hari ini (22 Februari 2022) untuk menilai situasi wabak.
"Ini memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak pengurusan kolej menepati SOP yang ditetapkan.
"Dengan kategori klinikal kejadian kes positif yang hanya melibatkan kategori 1 dan 2, liputan vaksinasi lengkap (100%) di kalangan pelajar, trend pengurangan jangkitan kes positif dan peningkatan jumlah kes sembuh, tindak balas pihak pengurusan melalui peningkatan kapasiti (surge capacity) serta langkah-langkah kawalan yang telah dilaksanakan, kejadian wabak di Kolej Matrikulasi Gopeng didapati dalam keadaan terkawal," katanya lagi.
Warga maya dan pelajar kolej menggunakan media sosial sebelum ini membidas kenyataan Noor Azmi, mendakwa timbalan menteri kesihatan itu mengeluarkan kenyataan palsu kerana lebih ramai pelajar didapati dijangkiti.
