Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairy teliti video lawatan Najib jika langgar SOP

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata dia akan meneliti rakaman video yang dikatakan menunjukkan bekas perdana menteri, Najib Razak melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 semasa berkempen di Perling, Johor pagi ini.

Sambil berkata Najib boleh dikenakan kompaun jika didapati bersalah, Khairy menegaskan terdapat kes di mana pemimpin dipersalahkan atas 'kekecohan' yang ditimbulkan oleh orang ramai.

"Jika dapati video tu langgar SOP disebabkan dia, boleh dikeluar kompaun

"Saya kena sebut ni ye, kadang-kadang orang tengok video, orang salahkan pemimpin hadir. Bukan rujuk kes ni, semua keslah.

"Tapi yang sebab commotion (kekecohan) tu adalah orang ramai.

"Dalam keadaan tersebut saya dah minta, pertama kita beri teguran dulu, jangan kerumuni pemimpin.

"Kedua kita minta supaya dia jaga penjarakan sewaktu ada program walkabout dan sebagainya," kata Khairy kepada pemberita semasa sidang media di Pusat Penilaian Covid-19 Klinik Kesihatan Simpang Renggam di Johor hari ini.

Khairy berada di situ bagi berkempen terhadap calon BN yang bertanding dalam pilihan raya Johor.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai kegagalan parti politik mematuhi SOP Covid-19 dalam aktiviti kempen mereka, termasuk acara yang dihadiri Najib ketika berkempen untuk calon MCA, Nicole Tan Hiang Kee di kerusi DUN Perling pagi tadi.

‘Kena guna budi bicara juga’

Khairy berkata dia telah mengeluarkan arahan supaya pegawai penguatkuasa KKM mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP, tanpa mengira status atau latar belakang politik mereka jika didapati bersalah.

Bagaimanapun, tambahnya, penguatkuasa berkenaan juga diminta menggunakan budi bicara mereka apabila menguatkuasakan undang-undang.

"Saya tau semua datang nak selfie dan sebagainya. Kita minta penguatkuasa minta ikut budi bicara.

"Kadang-kadang dia datang nak ambil gambar, jadi dalam keadaan 5 saat tu terus bagi kompaun, kena budi bicara sikit lakalau degil sangat baru bagi kompaun.

"Kita kena ada budi bicara. Penguatkuasa saya ada budi bicara, untuk melihat sama ada wajar untuk keluar kompaun atau tidak," katanya.

Kompaun terhadap wartawan dibatalkan

Sementara itu, dalam kes seorang wartawan dikompaun RM1,000 semalam kerana didakwa melanggar SOP ketika membuat liputan proses penamaan calon di kerusi DUN Larkin di Johor Bahru, Khairy berkata dia telah mengarahkan supaya kompaun itu dibatalkan.

Semalam, seorang wartawan Sin Chew Daily, Wong Kian Yong, 42, dikompaun RM1,000 selepas pihak berkuasa mendakwa dia gagal mematuhi syarat penjarakan fizikal.

"Saya dah tengok balik laporan tu, bukan salah dialah.

"Saya bagitau penguatkuasa kalau wartawan buat kerja, bagi amaran teguran dulu, yang fair, kalau bukan dia punya salah, dia nak cari interview dan sebagainya, tak payah kompaun.

“Tapi wartawan kena ikut SOP lah,” katanya.

Lihat Komen
ADS