Banjir di Johor dan Melaka semakin teruk dengan hampir 50,000 mangsa dipindahkan sehingga awal pagi, manakala paras air di beberapa sungai utama di Kelantan kini melepasi tahap waspada.

Sehingga jam 6 pagi tadi, seramai 44,577 mangsa daripada 8,977 keluarga di 183 kawasan yang terjejas ditempatkan di 274 pusat pemindahan sementara, dengan jumlah teramai dari daerah Muar (9,634) dan Kluang (9,539).

Manakala di Johor Bahru pula seramai 8,340 mangsa dipindah ekoran hujan sejak awal pagi selepas tidak mengalami hujan sepanjang hari semalam.

Di samping itu, 5,245 mangsa banjir dipindahkan di Segamat, Batu Pahat (4,708), Kota Tinggi (4,114), Pontian (2,762) dan Mersing (235).

Menurut laporan Bernama, keadaan di Melaka juga semakin buruk dengan seramai 3,937 mangsa di daerah Melaka Tengah dipindah ke 20 pusat pemindahan sehingga jam 8 pagi tadi.

Menurut polis, kawasan yang terbabit ialah Batu Berendam, Tanjung Minyak, Tengkera, Tiang Dua, Melaka Tengah, Kandang, Malim, Bukit Baru dan Taman Angkasanuri.

Limpahan air ulu

Manakala keadaan banjir di kebanyakan kawasan di daerah Jasin, dilaporkan bertahan kecuali Sungai Rambai air yang terus naik berikutan limpahan air dari kawasan ulu.

Jurucakap bilik gerakan banjir daerah Jasin berkata 970 orang masih di pusat pemindahan manakala beberapa keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri Asahan, Bemban dan Rim telahpun dibenarkan pulang.

Di daerah Alor Gajah, 735 orang masih berada di pusat pemindahan berbanding 854 orang malam tadi. Jalan Beringin-Kerubong ditutup kepada semua kenderaan berikutan sebuah jambatan berdekatan kampung Beringin runtuh.

Di Kota Bharu, penduduk kawasan pedalaman di sepanjang Sungai Golok dan tebing Sungai Kelantan telah diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir ekoran paras air di kedua-dua sungai utama itu melepasi paras waspada.

Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan telah membuka bilik gerakan banjir sejak malam tadi.

Pada jam 8 pagi ini, paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah mencatatkan bacaan 22.92 meter (waspada 21.50 meter/bahaya 23.50 meter). Air sungai Rantau Panjang juga sudah melepasi paras waspada, iaitu 7.16 meter ((waspada 7 meter/bahaya 9 meter).

Lepasi tahap waspada

Hujan berterusan, terutama di kawasan pedalaman Gua Musang dan Jeli turut menyebabkan paras air Sungai Kelantan di kawasan tersebut semakin meningkat melepasi tahap waspada.

Bacaan air sungai itu di Tualang kini 29.50 meter (waspada 27 meter/bahaya 35 meter) manakala bacaan di Tangga Krai, Kuala Krai ialah 21.21 meter (waspada 20 meter/bahaya 25 meter).

Paras air di Dabong, Kusial, Tambatan Diraja dan Sungai Semerak juga sudah melepasi paras waspada, dengan cuaca di Kelantan mendung dan sekali sekala hujan disusuli angin kencang.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri ini meningkat kepada 1,077 orang pagi ini kesemuanya dari daerah Rompin (926) dan Kuantan (151).

Mangsa di Kampung Rekoh (kekal 171), Sekolah Kebangsaan Pianggu (95), Sekolah Kebangsaan Keratong Satu (48), Sekolah Kebangsaan Keratong Dua (407), Balai Raya Bukit Serok (34) dan Kampung Kurnia (171).

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir IPD Kuantan, laluan di Km29 dan Km32 Jalan Kuantan-Sungai Lembing dan Km28 Kampung Sungai Charu ditutup kepada semua kenderaan setelah air naik antara satu dan dua meter.

Bagaimanapun, keadaan banjir di sekitar Gemas semakin pulih apabila paras air surut daripada 1 meter kepada 0.3 meter pagi ini, tetapi jalan Gemas menuju Gemencheh masih ditutup kepada semua lalulintas dan orang ramai yang hendak menuju ke pekan Gemas dari arah Tampin, dinasihati menggunakan jalan ke arah Jelai terlebih dahulu sebelum menuju ke pekan Gemas.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Leftenan Mohd Khairi Ghazali berkata jalan perhubungan menuju ke kawasan perkampungan sekitar Sungai Kelamah masih terputus dan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan masih kekal 455 orang.