Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hidangan makanan, tarian meriahkan makan malam pemimpin PN

PRN JOHOR | Pemimpin Perikatan Nasional (PN) disajikan dengan persembahan tarian yang meriah pada majlis makan malam yang menyaksikan kira-kira 800 orang hadir malam tadi.

Majlis anjuran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin di Johor Bahru itu turut menyaksikan kehadiran ahli-ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat Cina.

Antara tokoh yang dikenali ramai ialah taikun Tan Choon Hwa yang juga Pengerusi Eksekutif TCH Resources Group.

Dia juga memegang jawatan pengarah dalam pelbagai syarikat yang terlibat dalam pembayaran elektronik, hartanah, pembuatan dan perkhidmatan.

Pada majlis makan malam itu, nama tetamu kehormat terpampang dipaparkan pada skrin projektor gergasi. Mereka termasuk Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan Dominic Lau.

Ahli perniagaan yang hadir berkenaan duduk sebaris bersama pemimpin PN di meja panjang di hadapan pentas tersebut. Turut hadir Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ketika persembahan berlangsung, ahli-ahli perniagaan tersebut dapat dilihat sedang asyik berbual dengan pemimpin politik terbabit.

Sementara itu, hadirin lain - yang duduk memenuhi kira-kira 80 buah meja - yang ditempatkan di bekalang tetamu kehormat dan mereka dijamu dengan hidangan Cina.

Tak bangkitkan hudud

Dalam persembahan itu, semua tetamu dihiburkan dengan beberapa siri tarian yang digandingkan dengan lagu popular penyanyi antarabangsa seperti Candyman dan Ain't No Other Man oleh Christina Aguilera, Pump It oleh Bond dan Upside Down oleh Paloma Faith.

Makan malam besar itu diadakan di tengah kempen bagi pilihan raya Johor.

Semasa menyampaikan ucapan, Muhyiddin turut menyentuh isu kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak sambil cuba meredakan kebimbangan masyarakat Cina kepada kerjasama Bersatu - PAS.

Kata Muhyiddin mereka tidak perlu takut kepada parti terbabit.

Sementara itu ditemui selepas majlis berakhir, Lau berkata acara berkenaan bukanlah dianjurkan oleh PN sebaliknya mereka dijemput oleh "komuniti Cina tempatan.”

Bagaimanapun, tidak jelas siapa sebenarnya yang menganjurkan acara itu kerana ahli-ahli perniagaan yang hadir kelihatan 'malu-malu' untuk memberikan penjelasan.

Tambah Lau, dia tidak mengetahui tentang persembahan pada majlis itu kerana ia telah diatur oleh penganjur lebih awal.

Dia juga mempertahankan jaminan Muhyiddin bahawa masyarakat Cina tidak perlu takut terhadap PAS.

"Sudah terbukti... Kita lihat semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan, dia menjemput ahli parlimen PAS menjadi menteri dan jelas mereka tidak pernah membangkitkan apa-apa tentang hudud," katanya.

Pemimpin Gerakan menambah bahawa kehadiran yang besar pada majlis makan malam itu mencerminkan sokongan masyarakat Cina terhadap PN.

Sementara itu pegawai PN memberitahu program makan malam itu dianjurkan oleh komuniti perniagaan Cina Johor.

Setiausaha Eksekutif PN Saiful Adli Mohd Arshad berkata PN tidak terlibat menganjurkan majlis tersebut.

“Kehadiran pemimpin PN adalah atas jemputan manakala persembahan yang dibuat adalah anjuran penganjur,” katanya.

Kempen untuk PRN Johor bermula pada 26 Feb. Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS