Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sulu: Malaysia 'putar belit' dakwaan ke atas penimbang tara - Peguam UK

Dakwaan Malaysia terhadap penyiasatan jenayah ke atas penimbang tara yang menganugerahkan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris kesultanan Sulu adalah ‘sandiwara’ terancang yang direka untuk mencemarkan nama baiknya, menurut seorang peguam yang berpangkalan di United Kingdom.

Paul Cohen, yang mewakili waris Sulu itu, berkata bahawa mahkamah di Madrid tidak pernah merintahkan penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa untuk tidak melaksanakan tugasnya sebagai penimbang tara.

Peguam dari firma 4-5 Gray’s Inn Square di London itu mendakwa membangkitkan pertuduhan sedemikian telah menyebabkan Malaysia menjadi negara “penyangak” yang tidak mahu mematuhi tugas dan tanggungjawabnya sebagai penandatangan Konvensyen New York.

“Pegawai Malaysia mendakwa bahawa pendakwa raya Sepanyol memfailkan aduan jenayah terhadap penimbang tara itu. Ini putar belit. Pendakwa raya terikat untuk menyiasat aduan yang dibawa oleh negara berdaulat.

“Malaysia memfailkan aduan sedemikian, dan melaporkannya seolah-olah ia adalah inisiatif rasmi Sepanyol. Jika saya membuat laporan polis di Malaysia terhadap hakim yang tugasnya saya pertikaikan, bolehkah saya katakan bahawa SPRM telah mendakwanya?” soal Cohen dalam e-mel kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Dia menambah bahawa ia bukan satu jenayah untuk menjadi penimbang tara.

“Tiada mahkamah di Sepanyol memerintahkan Stampa berhenti daripada tugas penimbang tara, dan tiada mana-mana pihak pun boleh berbuat demikian di bawah terma jelas undang-undang timbang tara Sepanyol.

“Siasatan jenayah itu adalah satu sandiwara terancang oleh Malaysia untuk mencemarkan reputasi Stampa dalam berdepan keputusannya. Kami yakin bahawa tiada pertuduhan akan - kerana ia tidak boleh - difailkan terhadapnya.

"Dengan melemparkan tuduhan tingkah laku jenayah terhadap penimbang tara, Malaysia menyertai kelab kecil negara penyangak yang lebih suka mencampak pasir ke dalam mekanisme penyelesaian pertikaian yang mereka terima secara teori dan untuk mengelakkan kewajipan antarabangsanya," kata Cohen .

"Ini bukan pandangan yang baik untuk negara yang canggih seperti Malaysia, dan dasar yang membawa malapetaka," tambahnya.

Cohen mengulas mengenai pertikaian kerajaan Malaysia berhubung kesahihan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dan keengganan negara untuk membayar pampasan kepada waris Sulu.

Dalam mengumumkan hasrat mereka untuk mencabar keputusan timbang tara 28 Feb lalu oleh Stampa, kerajaan Malaysia mendakwa bahawa "pendakwa raya Sepanyol telah memfailkan aduan jenayah terhadap Stampa atas dakwaan menghina mahkamah yang serius serta gangguan profesional".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS