Gerakan Mahasiswa Maju (GMM) menyokong penuh langkah Kementerian Pendidikan Tinggi menubuhkan jawatankuasa untuk merangka buku panduan pendaftaran persatuan di semua universiti.

Sehubungan itu, Penyelaras Luaran GMM Universiti Putra Malaysia (UPM), Teh Yee Keong berkata, pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama dan memberi maklumat yang diperlukan oleh jawatankuasa tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, GMM turut bersimpati dengan Persatuan Bahasa Tionghua UPM yang terpaksa berdepan dengan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa universiti.

Katanya, GMM sendiri turut mengalami penindasan oleh pihak universiti yang sering menggunakan alasan 'persatuan tidak berdaftar' untuk menghentikan kegiatannya serta mengugut pelajar supaya tidak menyertainya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, apabila pihak persatuan memohon pendaftaran, pihak universiti enggan melayannya.

Pihak universiti juga, tegas Teh, tidak pernah mengeluarkan panduan untuk mendaftarkan sesebuah persatuan.

Penindasan

Beliau mendakwa, sejak beberapa tahun ini, pihak universiti sering menindas persatuan yang tidak berdaftar.

Katanya, ruang dan kebebasan untuk menjalankan aktiviti semakin merosot dan hanya persatuan tertentu sahaja yang dibenarkan oleh pihak universiti menjalankan aktiviti.

Bagaimanapun, dakwanya, persatuan lain tidak dibenarkan berbuat demikian, terutama persatuan yang mementingkan kesedaran sivik dan pemikiran kritis pelajar universiti.

"Sekiranya perkara sedemikian terus menular, maka negara kita akan menghasilkan pelajar universiti yang tidak peka terhadap isu-isu masyarakat dan tidak mengambil berat hal-ehwal negara," katanya.

Oleh itu, katanya, GMM UPM berharap kementerian berkenaan merangka segera buku panduan pendaftaran persatuan universiti yang memenuhi fasal 10 Piagam Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Manusia dan fasal 10(c) Perlembagaan Malaysia berhubung kebebasan berpersatuan.