Pemuda PAS nafi tidak sensitif penderitaan mangsa banjir
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) menolak dakwaan bahawa pihaknya tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat yang sedang dilanda banjir apabila menganjurkan program himpunan 15,000 ahlinya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) menolak dakwaan bahawa pihaknya tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat yang sedang dilanda banjir apabila menganjurkan program himpunan 15,000 ahlinya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Sebaliknya, DPP menjelaskan, himpunan yang julung kalinya diadakan itu, telah dirancang hampir dua bulan bagi menggerakkan jentera petugas pemuda PAS di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Pegawai perhubungan Awam DPP, Safarizal Saleh menegaskan demikian sebagai mengulas ruangan 'Senyum Kambing' kelmarin mengenai himpunan Pemuda PAS 2006 yang berlangsung di Kota Bharu, Sabtu lalu.
Dialog dalam ruangan tersebut berbunyi: "Dewan Pemuda Pas mula gerakkan pilihanraya...orang sibuk bantu mangsa banjir, mereka sibuk berpolitik."
Menurut Safarizal, matlamat himpunan ini adalah untuk menyusun semua organisasi pemuda dan mengemaskini fungsi tenaga pemuda semaksima mungkin.
Katanya, selain menyentuh aspek seperti masalah sosial, kebajikan rakyat, kezaliman, agama, organisasi dan khasnya pilihanraya, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub juga menyebut bahawa Pemuda PAS Johor dikecualikan daripada menyertai himpunan itu untuk membantu mangsa banjir di negeri tersebut.
Gerakan bantu banjir
Safarizal berkata, Salahuddin juga mengarahkan di himpunan tersebut supaya dihantar seramai mungkin petugas pemuda ke Johor, terutamanya selepas selesai perhimpunan berkenaan.
"Hari ini sahaja, dua kumpulan petugas telah berada di Tangkak dan Segamat untuk membantu mangsa banjir. Untuk makluman, arahan supaya Pemuda PAS di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan membuka bilik gerakan, dilaksanakan pada 20 Disember lalu," kata dalam satu kenyataan hari ini.
Pemuda PAS juga, katanya, telah menetapkan supaya semua petugas pemuda dari seluruh negara ke Johor esok tujuan misi bantuan petugas.
"Di himpunan tersebut juga, kutipan derma sebanyak RM12,500 berjaya dikutip untuk membantu mangsa banjir. PAS juga telah melancarkan tabung bantuan banjir negara baru-baru ini. Ahli- ahli PAS boleh menyalurkan sumbangan bagi tujuan tersebut," katanya.
Salahuddin dan rombongan exco Pemuda PAS, katanya, telahpun melawat mangsa banjir di Johor dan Melaka pada 20 Disember lalu.
"Beliau berada di Pusat Penempatan Kampung Parit Selangor, Pontian dan Dewan Orangramai Kampung Melayu, Kluang. Manakala di Melaka, beliau berada di Jasin pada 21 Disember lalu. Bantuan segera Pemuda PAS akan terus disalurkan sama ada dalam bentuk petugas ataupun wang ringgit kepada mangsa-mangsa banjir ketika ini," tambah Safarizal.
Komen Muhd Taib
Kelmarin, Utusan juga menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib bahawa tindakan DPPP menganjurkan himpunan tersebut, menunjukkan pergerakan itu tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat yang sedang dilanda banjir.
Beliau berkata, PAS seharusnya segera menghulurkan bantuan dan bukan memberi keutamaan kepada pilihanraya.
Banjir sedang melanda beberapa negeri, khususnya negeri Johor, Pahang dan Melaka yang paling teruk dinaiki air dan minggu lalu jumlah mangsa yang dipindahkan telah mencecah lebih 80,000 orang.
Sebaliknya, kata Muhd Taib, sayap-sayap utama Utama telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat dengan bencana itu.
Nada serupa turut disuarakan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan PAS terlalu ghairah berpolitik sehingga lupa terdapat sekumpulan rakyat yang kini berada dalam kesusahan ekoran banjir.

