Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke dakwa k'jaan anugerah kontrak pada syarikat 'bankrap', rekod buruk

PARLIMEN | Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) mempersoalkan mengapa kerajaan menganugerahkan konsesi bagi kerja-kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan persekutuan kepada syarikat yang didakwanya muflis dan mempunyai rekod buruk.

"Adakah menteri dapat nafikan apa saya sebut bahawa syarikat ini ada pelbagai masalah. Pertamanya Inai Kiara atau holding company pada syarikat diberikan konsesi ini adalah syarikat yang telah bankrap hingga ada saman dari kerajaan tak bayar LHDN.

"Takkah menteri sedar bahawa banyak projek tergendala, tak dapat disiapkan, terpaksa cari syarikat lain.

"Ini tunjukkan bahawa keupayaan syarikat ini amat dipersoalkan.

"Kenapa syarikat yang ada track record tak baik disambung konsesi. Kerajaan beri concession pada syarikat bankrap, bukankah itu scandalous decision, satu keputusan scandalous (bersifat skandal)," katanya.

Loke berkata demikian semasa ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong bagi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Wee terdahulu berkata kabinet bersetuju menganugerahkan konsesi bagi kerja-kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan persekutuan kepada Integrated Marine Works Sdn Bhd (IMW), yang merupakan anak syarikat Inai Kiara Sdn Bhd.

Menteri itu berkata antara pertimbangan yang diambil ialah pengalaman syarikat itu selama 15 tahun, penglibatan mereka dalam lebih 200 projek bernilai RM2.2 bilion dan mereka sudah melabur dalam peralatan yang diperlukan.

Bagaimanapun, dia berkata konsesi yang diberikan kepada IMW masih dalam proses untuk dimuktamadkan.

Ketika disoal oleh Loke mengenai dakwaan syarikat itu sudah muflis dan memiliki rekod prestasi yang buruk, Wee berkata ia kini menghadapi beberapa "masalah kewangan" yang sedang dikendalikan oleh pihak bank.

Dia juga sekali lagi mengatakan syarikat itu sudah mempunyai peralatan yang diperlukan untuk menjalankan kerja-kerja konsesi.

Loke berkata jika syarikat itu muflis, peralatan berkenaan berada di bawah receivership dengan pihak bank.

Berkenaan dakwaan rekod buruk syarikat itu, Wee berkata Loke hanya memberikan satu contoh sedangkan lebih 200 projek telah disiapkan oleh syarikat itu.

Apabila Loke menjawab bahawa terdapat banyak contoh yang boleh disemak oleh Wee dengan kementeriannya, menteri menggesa Loke menyenaraikan projek yang tidak dapat disiapkan syarikat berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan IMW telah dilantik sebagai kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan negara bermula 7 Julai 2021.

IMW ialah pemegang konsesi untuk penyelenggaraan pengorekan di semua pelabuhan persekutuan selama 15 tahun sehingga 21 Dis 2019.

Semakan dengan Jabatan Insolvensi mendapati IMW mempunyai perintah penangguhan bagi penggulungan syarikat, yang bermakna ia masih belum muflis secara teknikal.

Sementara itu, Inai Kiara tidak mempunyai sebarang kes muflis terhadapnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS