Syarikat Turki nafi PM tempah kapal layar RM30 juta
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak pernah menempah kapal layar berharga RM30 juta seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar Turki baru-baru ini, demikian menurut sebuah syarikat kapal layar dan pelancongan Turki.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak pernah menempah kapal layar berharga RM30 juta seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar Turki baru-baru ini, demikian menurut sebuah syarikat kapal layar dan pelancongan Turki.
Syarikat berkenaan, Kobra Yatcilik Turizm ve Turizm Limited Co menafikan menerima tempahan tersebut daripada Perdana Menteri Malaysia itu, seperti yang dilaporkan oleh akhbar Turki, Hurriyet Daily .
.
Dalam suratnya kepada akhbar berkenaan, syarikat itu berkata, berita yang disiarkan akhbar itu pada 17 Disember lalu mengenai perkara itu adalah palsu.
"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia tidak pernah membuat sebarang tempahan untuk membina sebuah kapal pesiar dengan syarikat kami," katanya dalam surat itu, yang salinannya dikirim kepada Bernama hari ini.
Berita itu mendakwa, Abdullah telah singgah di Bodrum, Turki baru-baru ini untuk memeriksa pembinaan bot itu yang kononnya telah ditempahnya empat bulan lalu.
Khabar angin
Dalam suratnya itu, syarikat itu berkata: "Laporan berita anda bahawa persinggahan yang dimaksudkan itu adalah sebenarnya satu lawatan bagi tujuan mengadakan satu pemeriksaan adalah tidak boleh dipercayai, berdasarkan kepada keadaan semata-mata, khabar angin dan palsu."
Dalam surat itu juga, syarikat pembuat kapal layar itu merujuk kepada laporan berita yang ditulis oleh seorang wartawan Hurriyet Daily, Yasar Anter, yang disiarkan di halaman 8, yang turut menyebut nama syarikat itu.
"Kami ingin menarik perhatian anda bahawa artikel ini bukan sahaja telah menyebabkan syarikat kami berputus asa, bahkan ia meletakkan kami dalam keadaan sepi dan sedih serta sengsara.
"Kami ingin mengambil kesempatan ini dan juga menjadi tanggungjawab kami untuk memaklumkan kepada anda perkara yang sebenar," kata syarikat itu.
Abdullah telah menafikan membeli kapal layar itu dan menyifatkan laporan itu sebagai satu pembohongan secara terang-terangan.
"Ia satu pembohongan. Saya tidak tahu di mana mereka mendapat fakta seumpama itu," katanya kepada pemberita semasa melawat Venezuela baru-baru ini, sebagai mengulas laporan Hurriyet bahawa beliau ke Bodrum di Turki untuk melihat bot itu yang ditempahnya empat bulan lalu.
Laporan itu mendakwa, bot berkenaan diperbuat daripada kayu yang diimport dari Afrika Selatan dan dijangka siap dalam masa 16 bulan dan dinamakan "Cobra Sultan".
Isu tersebut pada mulanya disiarkan di internet dalam blog bekas editor akhbar Malay Mail, Ahirudin Attan.

