mk-logo
Berita
Kaji semula kontrak korek pasir RM2.2 bilion, gesa MP
Diterbitkan:  Mar 16, 2022 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke menggesa kerajaan mengkaji semula projek pengorekan pasir di pelabuhan yang telah diberikan kepada anak syarikat Inai Kiara Sdn Bhd (IKSB).

Loke berkata carian yang dijalankan pada 30 Sept tahun lepas melalui Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan IKSB telah diisytiharkan tidak solven oleh mahkamah pada 6 Julai tahun lepas atas permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Namun, kabinet melantik syarikat itu untuk menjalankan kerja-kerja pengorekan dan penambakan pada hari berikutnya (7 Julai 2021), yang disahkan oleh Kementerian Pengangkutan baru-baru ini.

Kontrak itu bagi kerja-kerja selama 15 tahun dan bernilai RM2.2 bilion.

Loke yang juga bekas menteri pengangkutan berkata kajian semula adalah perlu kerana terbukti bahawa penilaian wajar tidak dilakukan sebelum kabinet membuat keputusan dan kedudukan kewangan syarikat itu diragui.

"Saya yakin bahawa ada banyak syarikat yang mampu membuat kerja tersebut," katanya.

Loke berkata dia akan membangkitkan semula isu itu apabila menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU) Mustapa Mohamad mengadakan ucapan penggulungan di Dewan Rakyat esok.

Isnin lalu di Dewan Rakyat, Loke menyoal Putrajaya berhubung kontrak berkenaan sambil mendakwa syarikat itu mempunyai beberapa pekerjaan yang belum selesai.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, yang menjadi menteri pada masa perjanjian itu diluluskan, menjelaskan bahawa IKSB mempunyai rekod prestasi 15 tahun melibatkan lebih 200 projek.

Bagaimanapun, Wee mendakwa bahawa perjanjian itu masih belum dimuktamadkan.

Seorang kontraktor kerajaan yang didakwa oleh penggubal undang-undang sebagai bankrap berkata masalah kewangannya telah lama berakhir.

Semalam, IKSB, dalam satu kenyataan, berkata syarikat itu pada masa ini mampu menyelesaikan masalah kewangannya berlaku pada 2016 dan diselesaikan pada tahun berikutnya.

Semakan bebas dengan jabatan insolvensi pada 14 Mac mendedahkan IKSB "tidak digulung". Walau bagaimanapun, status anak syarikatnya Integrated Marine Works Sdn Bhd adalah "perintah penangguhan diberikan".

Integrated Marine Works merupakan syarikat yang diberi kontrak pengorekan pasir oleh Kementerian Pengangkutan.

Ketua Pegawai Eksekutif IKSB Quzaim Mohamad Guljar Mohamad berkata kedua-dua syarikat itu berkemampuan dan oleh itu berupaya melaksanakan semua projeknya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS