BN siap sedia hadapi pilihanraya kecil Batu Talam
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) dan Umno berada dalam keadaan siap sedia dan berkemampuan bagi menghadapi pilihan raya kecil Batu Talam berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) dan Umno berada dalam keadaan siap sedia dan berkemampuan bagi menghadapi pilihan raya kecil Batu Talam berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu.
AhliDewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan Tengku Paris, 66, meninggal dunia jam 6.15 petang semalam akibat barah usus ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang, Kelantan.
Menurut laporan Bernama, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, berasaskan kepada pengalaman dan kekuatan Umno di kawasan itu, beliau yakin kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan berkenaan akan dapat dipertahankan.
"Kita terpaksa terima bahawa pilihanraya kecil Batu Talam akan diadakan mengikut tarikh yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (nanti)," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Tengku Paris Tengku Razlan merupakan wakil rakyat BN di kawasan itu sejak pilihanraya
umum 1999.
"Berasaskan kepada pengalaman kita selama ini dan kekuatan kita yang sedia ada di kawasan tersebut dan dengan komitmen kepimpinan negeri, saya percaya, Insya-Allah kita akan berjaya dalam pilihanraya kecil itu (nanti)," kata Najib.
Calon BN
Ditanya mengenai bakal calon BN, Najib berkata: "Nantilah dulu."
Katanya, tugas menyelaraskan kempen Umno dalam pilihanraya kecil itu nanti akan dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Pengurusan parti yang bersidang setiap minggu.
"Kita tak perlu mesyuarat khas (untuk persiapan pilihanraya kecil), tugas penyelarasan pilihan raya kecil diberikan kepada Jawatankuasa Pengurusan, jawatankuasa itu bersidang tiap minggu dan kita boleh membuat keputusan berhubung apa sahaja berkaitan pilihan raya (kecil) tersebut,"
katanya.
Sementara itu, jenazah Tengku Paris Tengku Razlan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Machang dan Ulu Gali, Raub jam 11.30 pagi ini.
Jenazah Allahyarham diiringi isterinya, Datin Raja Noraziah Raja Yunan dan enam anaknya, Tengku Saiful Bahari, 39, Tengku Shahrizan, 36, Tengku Hairul Niza, 33, Tengku Nazatul Shima, 30, dan pasangan kembar, Tengku Ahmad Farid dan Tengku Aziati, 27, serta saudara-mara terdekat.
Antara yang hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Wan Mohamad Razali Wan Mahusin, Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia Datuk Noraini Ahmad, barisan anggota Exco Kerajaan Pahang dan beberapa orang Adun.

