Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO berarak ke parlimen gesa RUU antilompat parti disegerakan

Dua pertubuhan masyarakat sivil mengadakan perhimpunan dan berarak ke parlimen bagi membantah kelewatan kerajaan dalam memperkenalkan rang undang-undang (RUU) antilompat parti dan kengganan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Penyokong Bersih dan SUARAM berkumpul di Tugu Negara berhampiran Dewan Rakyat pada 8.30 pagi tadi, sebelum berarak menuju ke luar bangunan parlimen.

Mereka berhimpun sambil memegang sepanduk bertulis #RUUAntiLompatParti SEKARANG!, #TolakIPCC, IPCMC SEKARANG!, selain turut melaungkan slogan seperti "hidup rakyat" dan "tidak kepada katak”.

Polis dilihat mengawal perhimpunan berkenaan.

Pada kira-kira pukul 9.15 pagi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin keluar dari bangunan Parlimen bagi menerima memorandum daripada pengerusi Bersih, Thomas Fann dan penyelaras Suaram, Wong Yan Ke.

Memorandum yang dikemukakan Bersih mengandungi gesaan agar kerajaan memperkenalkan RUU antilompat parti secepat mungkin bagi memastikan kestabilan politik berikutan tindakan melompat parti di kalangan ahli politik.

RUU antilompat parti itu juga antara yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kerajaan Ismail Sabri dan pembangkang.

Sementara itu memorandum yang disampaikan Suaram pula adalah berkenaan penolakan terhadap penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakukan Polis (IPCC).

Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini menarik balik rang RUU IPCMC dan mengumumkan pengenalan RUU IPCC.

Untuk rekod, IPCC hanya dan menjalankan siasatan dan tiada hak untuk menghukum pegawai polis yang terlibat dalam salah laku.

Memorandum yang disampaikan Suaram mengandungi gesaan agar kerajaan menarik balik RUU IPCC dan memperkenalkan semula RUU IPCMC bagi memulihkan kredibiliti pasukan polis.

Kedua-dua memorandum tersebut mendapat sambutan daripada orang ramai, dengan memorandum untuk memperkenalkan undang-undang antilompat parti ditandatangani hampir 40,000 orang dan 37 NGO, manakala memorandum untuk menolak IPCC ditandatangani hampir 50,000 orang dan 52 NGO.

Kedua-dua pertubuhan itu turut meminta ahli parlimen pembangkang menyokong tuntutan memorandum berkenaan dan menyerahkannya kepada sekumpulan ahli parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS