Kerajaan menolak cadangan supaya Malaysia mempunyai seorang Mufti Besar kerana ia tidak mungkin dapat dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan perlembagaan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mengikut perlembagaan, hak mutlak dalam soal agama Islam ialah di bawah Raja pemerintah masing-masing.

"Saya lihat tak mungkin cadangan ini boleh dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan perlembagaan yang sedia wujud," kata Najib dalam laporan Bernama hari ini.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas dilaporkan membuat cadangan itu kerana berpandangan Mufti Besar akan dapat menjelaskan persoalan mengenai Islam kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

Dalam wawancara dengan mStar Rabu lalu, Dr Syed Ali berkata ia bertujuan mencegah agama itu daripada disalahtafsir untuk kepentingan pihak tertentu.

Dr Syed Ali berkata Ikim juga akan menganjurkan sebuah seminar tahun depan untuk mencadangkan metodologi dan peruntukan berhubung cadangan melantik Mufti Besar.

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria juga menolak mentah-mentah cadangan mewujudkan jawatan Mufti Besar itu kerana bimbang ia akan menghapuskan kuasa Raja-Raja ke atas perkara-perkara melibatkan agama Islam.

Tidak berhak berbicara

Menurut, pendapat bahawa kepincangan pendapat di kalangan ilmuan agama dan mufti di negara ini disebabkan oleh ketiadaan tokoh yang paling berhak untuk memperjelaskan isu-isu berkaitan umat Islam adalah tidak tepat.

Beliau memberitahu mStar bahawa kepincangan itu timbul kerana ada pihak yang tidak berhak tetapi telah diberi peluang untuk membincangkan isu-isu agama secara terbuka.

Ketika diminta menjelaskan golongan manakah pada pendapat beliau dianggapnya tidak berhak untuk bersuara mengenai isu-isu agama, Harussani berkata:

"Orang macam Syed Ali itulah. Dia tidak ada kuasa dan hak (authority), tapi nak bercakap soal agama. Mufti-mufti ini sudah dilantik oleh kerajaan dan Sultan, mereka berhak untuk berbicara tentang agama."

Katanya lagi, peruntukan mengenai kuasa Raja-Raja ke atas hal-ehwal agama Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan dan sebarang percubaan untuk mewujudkan jawatan Mufti Besar sebagai orang paling berhak untuk bercakap mengenai isu-isu berkenaan akan melunturkan kuasa Raja-raja ke atas perkara tersebut.

Ditanya jika Mufti Besar boleh dilantik mengikut pemasyhuran sultan negeri mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong seperti cadangan yang dilontarkan Dr Syed Ali sebelum ini, beliau berkata: "Itu tidak timbul kerana Yang di-Pertuan Agong hanya berkuasa di Wilayah Persekutuan sahaja.

"Inilah masalahnya, orang seperti itu tidak boleh berbicara tentang Islam sebab mereka berhujah menggunakan nafsu sahaja," katanya.