Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tambah kerusi DUN S'gor: Pembangkang dakwa PH mula goyah

Pembangkang Selangor mendakwa kerajaan negeri kini sudah mula goyah dan disebabkan itu menteri besarnya, Amirudin Shari dilihat cuba untuk membawa usul bagi menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan akan datang.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail berkata langkah itu juga dilihat sebagai bermotifkan politik semata-mata bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) terus berkuasa di negeri itu.

Kata Rizam, dakwaan itu dikuatkan lagi apabila melihatkan siri kekalahan PH pada beberapa pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

"Apa yang saya nampak langkah ini dibuat disebabkan kerajaan negeri lihat (mereka) sudah mula goyah dan dia merasakan kekalahan PH di beberapa buah negeri baru-baru ini menunjukkan berlaku penolakan kepada mereka dan rakyat sudah mula kembali menyokong BN.

"Atas sebab itu Selangor nak tambah bilangan kerusi (DUN) bagi nak pecahkan kawasan-kawasan bandar yang dia menang besar agar kerusi dia bertambah.

"Dari sudut politik pula, sudah tentu ini merupakan salah satu taktik kerajaan negeri dalam memastikan Selangor akan terus dikuasi oleh PH," katanya kepada Malaysiakini.

Rizam Ismail

Rizam berkata demikian mengulas cadangan Amirudin untuk membawa usul menambah kerusi DUN pada persidangan DUN Selangor.

Amirudin kelmarin dilaporkan berkata langkah berkenaan akan dilaksanakan kerana terdapat DUN yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 75,000 sehingga 100,000 bagi sesebuah kerusi.

Kata Amirudin yang juga Adun Sungai Tua, cadangan pertambahan kerusi ini juga bagi mewujudkan keseimbangan dalam kalangan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar, supaya perkhidmatan yang diberi oleh wakilnya dapat dilaksanakan secara adil.

Mengulas lanjut, Rizam yang juga Adun Sungai Air Tawar bagaimanapun berkata dia yakin rakyat hari ini semakin bijak dalam menilai parti yang dapat memberi kestabilan masa depan yang lebih baik.

"Dan BN telah membuktikan bahawa parti itu mempunyai corak pentadbiran dimana dasar dan polisinya lebih kukuh dan diyakini para pelabur," katanya

Namun, Rizam berkata usul tersebut juga tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

"Tetapi perlulah dilihat dari segi impak kaum serta corak pengundian, sama ada ia dilakukan secara adil atau tidak, sebelum mengusulkan cadangan untuk pertambahan kerusi.

"Kerana setiap DUN adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi dan tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan DUN lain," katanya.

Selain itu, kata Rizam kerajaan negeri juga perlu melihat dari sudut kemampuan kewangannya dan pulangan daripada pelaburan yang tinggi untuk rakyat.

Katanya, ia ekoran pengumuman Belanjawan 2022 yang diumumkan kerajaan negeri pada November lepas.

"Kerajaan negeri telah mengumumkan sebanyak 52 peratus untuk perbelanjaan mengurus. Sudah tentu apabila ada penambahan kerusi, perbelanjaan mengurus akan lebih tinggi.

"Justeru, saya menggesa kerajaan negeri untuk bentangkan cadangan jumlah kos yang akan terlibat jika perubahan kerusi ini berlaku dan apakah justifikasi kerajaan negeri yang akan mengurangkan belanjawan pembangunan kerana kerajaan negeri belum tentu dapat menambah kutipan hasil sewaktu negara sedang pulih dari wabak Covid-19 ini," tambahnya.

Penganalisis anggap sebagai keperluan

Mazlan Ali.

Sementara itu, penganalisis politik Mazlan Ali daripada UTM yang dihubungi pula berpandangan bahawa cadangan menteri besar Selangor itu adalah sesuatu yang perlu.

Katanya, ini disebabkan beberapa faktor.

"Yang pertama, negeri Selangor ini adalah sebuah negeri yang kadar pengundinya tidak sama rata khususnya di kawasan-kawasan pusat bandar, yang mana kadang-kadang ada sesuatu DUN mempunyai lebih 100,000 pengundi dan keadaan menjadi lebih serius lagi selepas pelaksanaan Undi18 telah menyebabkan pertambahan jumlah yang ketara.

"Saya beri contoh, di Parlimen Bangi. Selepas pertambahan Undi18, di Bangi ada lebih kurang 300 ribu lebih untuk satu Parlimen.

"Jadi, jika satu parlimen itu ada lebih 300,000 (pengundi) bayangkan di setiap satu DUN itu ada berapa? Jika satu parlimen ada dua DUN, bermakna setiap DUN ada 150,000 pengundi.

"Jadi, ini sebenarnya tidak begitu kompetitif bagi seorang wakil rakyat yang mewakili jumlah pengundi yang sebenarnya terlalu ramai," katanya.

Oleh itu, kata Mazlan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan supaya idea weightage (pemberatan dari segi nisbah pengundi) di antara bandar dan luar bandar pada kadar yang munasabah.

"Kadang-kadang di luar bandar ini macam di Sabak Bernam jumlah pengundi di satu-satu DUN itu pengundinya lebih kurang 20,000 hingga 30,000 saja tetapi di kawasan bandar ini boleh melebihi 100,000," katanya.

Selain itu, Mazlan yakin usul tersebut dapat diluluskan dengan mudah memandangkan PH mempunyai majoriti kukuh.

"Kerajaan negeri masih mempunyai majoriti yang kuat dan kukuh dan untuk meluluskan usul ini dan ia boleh dibuat dengan mudah dan oleh kerana penggal ini masih ada sehingga bulan Mei 2023, saya fikir ia boleh dibuat selepas dibawa ke SPR dan diluluskan di Dewan Negeri sebelum PRU 15 akan datang," katanya.

Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Turut menyambut baik cadangan usul untuk menambah kerusi DUN itu adalah pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Kata Nik Ahmad, cadangan tersebut disifatkan sangat bersesuaian pada ketika ini selain mengambil kira kepadatan jumlah penduduk di Selangor itu sendiri.

"Cadangan menteri besar Selangor itu sesuailah sebenarnya. Sebab, Selangor ini negeri yang padat. Ditambah dengan prinsip di bawah Seksyen 2, Jadual ke 13, mesti atau antara dua constituency (kawasan pilihan raya) tidak ada beza daripada jumlah penduduk.

"Kecuali macam negeri-negeri yang luas dan penduduknya tidak padat seperti di Sabah dan Sarawak.

"Macam di Selangor ini padat, setiap kawasan, setiap daerah itu padat.

"Di Puchong saja ada tiga kawasan DUN dan kawasan Parlimen dia dekat 100 ribu lebih pengundi dan sebab itu saya rasa menteri besar Selangor rasa elok untuk dibanyakkan lagi DUN sebab setiap satu DUN itu memang ramai dan padat," katanya.

Sementara itu, mengulas cadangan tambahan kerusi DUN itu dibuat kerana bermotifkan politik, Nik Ahmad tidak melihat sedemikian.

Malah, jika ada sekali pun, penganalisis politik itu berkata ia tidak akan diambil kira oleh SPR.

Sebaliknya, Nik Ahmad berkata SPR akan mengambil kira tujuan persempadanan semula terbabit atas dasar sama ada ia belum atau sudah lama tidak dilaksanakan atau ia mempunyai justifikasi yang jelas selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 2, Jadual ke 13 Peruntukan yang berhubungan dengan Penyempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya.

"Motif (politik) itu tidak akan diambil kira oleh SPR, sebab ia tidak disebutkan dalam Perlembagaan.

"Tapi kita faham motif politik itu tujuannya mungkin alasan untuk menambah kerusi maka peluang untuk mengekalkan kuasa itu lebih cerah tetapi SPR akan melihat sama ada ia selaras dengan apa yang dinyatakan dalam peruntukan Perlembagaan.

"SPR akan melihat itu, ia dijustifikasikan atau tidak mengikut peruntukan-peruntukan Perlembagaan," katanya.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad berkata pertambahan penempatan seperti di Kuala Selangor serta jumlah pengundi muda selepas pelaksanaan Undi18 adalah antara alasan utama kenapa SPR perlu mengambil kira semakan semula persempadanan negeri Selangor itu.

Bagaimanapun, Nik Ahmad mengingatkan bahawa proses persempadanan semula ini hanya boleh dilakukan sekali bagi setiap tempoh lapan tahun.

"Maknanya, kalau 2010 dah buat seterusnya adalah pada 2018. Kalau 2018 dah buat, seterusnya adalah 2026 sebab kalau ikut Perlembagaan Perkara atau Artikel 113, (semakan) tak kurang daripada 8 tahun baru boleh semak semula.

"Tapi di Selangor ini mungkin dah lebih 8 tahun agaknya. Maknanya bolehlah nak buat semakan tapi semakan ini dia kena selesai dalam tempoh dua tahun berdasarkan peruntukan Perkara 113," tambahnya.

Kali terakhir DUN Selangor ditambah menerusi proses persempadanan semula adalah pada 2018, dengan lapan kerusi baru.

Lihat Komen
ADS