Seorang remaja dikhuatiri menjadi korban banjir seterusnya di Johor apabila dia dilaporkan dihanyutkan arus banjir malam tadi. Sehingga ini, banjir di Johor meragut 12 nyawa setakat ini.

Mohd Farizan Mohktar, 18, dilaporkan hilang dalam banjir di Kampung Durian Chondong, Muar, kira-kira jam 9 malam dan gerakan mencari mangsa disambung pagi ini.

Sementara itu banjir di negeri ini semakin pulih dengan seramai 58,876 mangsa berada di 194 pusat pemindahan pagi ini berbanding 60,166 orang malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berkata, 29,577 mangsa berada di 80 pusat pemindahan di Batu Pahat sehingga jam 6 pagi tadi.

Menurut laporan Bernama, jumlah mangsa di Muar pula adalah seramai 21,198 orang pagi ini dan keadaan air di Bukit Kepong, Panchor, Lenga dan Kundang Ulu tidak banyak berubah.

Beberapa batang jalan -- Jalan Muar-Parit Sulong, Jalan Bukit Pasir-Pagoh, Jalan Muar-Segamat, Jalan Bukit Serampang-Kandong dan Jalan Pagoh-Panchor masih ditenggelami air antara 0.3 meter hingga 1 meter.

Mangsa berkurangan

Jurucakap itu berkata seramai 2,661 mangsa masih berada di 13 pusat pemindahan di Kluang, Kota Tinggi (2,497), Johor Baharu (1,503), Segamat (1,234) dan Mersing (206).

Di Kuantan, jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan daerah Rompin kekal 195 orang pagi ini.

Jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, sehingga 9 pagi ini tiada pengurangan mangsa dari 37 keluarga yang ditempatkan di situ.

"Pusat pemindahan yang masih kekal ialah Dewan Orang Ramai Leban Condong 102 orang, Balai Raya Bangkung 40 orang, dan Sekolah Kebangsaan Aur 53 orang.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan semakin berkurangan kepada 608 orang pagi ini berbanding 695 malam tadi. Keadaan cuaca seluruh negeri itu adalah cerah.