Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
40% cukai: PH Sabah ancam tindakan undang-undang
Diterbitkan:  Mar 25, 2022 10:23 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

Pakatan Harapan (PH) Sabah mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) melainkan Ketua Menteri Hajiji Mohd Noor berjaya menuntut semula hak Sabah untuk mendapatkan 40 peratus hasil cukainya daripada kerajaan persekutuan.

Pemimpin PH dari Upko, PKR, DAP dan Amanah memetik jawapan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat bahawa hak Sabah untuk memperoleh 40 peratus daripada hasil cukai sendiri, yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), adalah tidak lagi terpakai.

"PH Sabah akan mengambil tindakan undang-undang mencabar kesahihan penjelasan Menteri Kewangan Persekutuan, apatah lagi persetujuan baharu yang dinyatakan dibuat semasa tempoh darurat, iaitu di antara tahun 1969 dan 1971 serta melibatkan warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabah,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Upko Wilfred Madius Tangau; Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew; Pengerusi DAP Sabah, Dr Frankie Poon dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.

Dalam pada itu, mereka mengalu-alukan kenyataan Hajiji di DUN Sabah semalam bahawa kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan hasil cukai 40 peratus tersebut.

"Bagaimanapun, PH Sabah tidak mahu melihat ia hanya menjadi satu retorik politik. Kami memberikan tempoh satu bulan kepada Kerajaan Sabah untuk mendapatkan perolehan hasil sepertimana dalam Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan, iaitu berdasarkan formula 40 peratus atau rundingan yang lebih baik.

"Jika Kerajaan Sabah gagal mendapatkan semula perolehan hasil berdasarkan formula 40 peratus tersebut dalam tempoh sebulan, PH Sabah, khususnya ahli-ahli parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri kami, tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke mahkamah untuk mencabar perkara ini.

"PH Sabah berpendapat jika benar ada warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabahberhubung pemberian hasil 40 peratus tersebut dan dibuat semasa tempoh darurat, ia merupakan satu bentuk penipuan ke atas pembentukan Negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963," katanya.

Isu hasil cukai 40 peratus bagi Sabah itu turut dibangkitkan oleh ahli parlimen Warisan dalam persidangan Dewan Rakyat yang berakhir semalam.

Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman mendakwa pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan hak dan kepentingan negeri Sabah dibuat tanpa mengikut prosedur yang betul.

Azis berkata demikian berikutan jawapan Kementerian Kewangan terhadap dakwaannya sebelum ini bahawa Zafrul telah mengelirukan Dewan Rakyat.

Aziz berkata, bersama jawapan yang diterima, dia turut menerima dokumen berbentuk warta kerajaan yang diklasifikasikan sebagai sulit.

Sebelum ini, pada 22 Mac, Azis dilaporkan telah merujuk Zafrul ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung cukai tersebut kepada Dewan Rakyat.

Katanya, Zafrul menjawab bahawa pulangan 40 peratus kutipan hasil bersih Sabah tidak lagi terpakai dan ini bercanggah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili bahawa perkara itu masih belum dibincangkan.

Lihat Komen
ADS