Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parlimen Australia Selatan pantau inkues kematian Annapuranee Jenkins
Diterbitkan:  Mar 28, 2022 11:12 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Parlimen Australia Selatan berhasrat memantau secara dekat prosiding inkues mahkamah koroner yang bermula hari ini berhubung kehilangan misteri dan penemuan mayat seorang nenek warga Australia, Annapuranee "Anna" Jenkins, yang dipercayai mati akibat dibunuh.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan ketua kakitangannya hari ini, Ahli Majlis Perundangan Australia Selatan (MLC) Frank Pangallo berkata, dia amat berminat mengikuti inkues itu.

Pangallo berjaya mengemukakan usul dalam Majlis Perundangan Australia Selatan akhir tahun lalu yang menyeru agar Yang di-Pertuan Agong meminta supaya Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu.

"Sebelum itu, kehilangan Puan Jenkins dan penemuan mayat di lokasi tapak pembangunan itu tidak secara aktif disiasat oleh pihak berkuasa tempatan Malaysia, dengan kebanyakan kerja-kerja detektif untuk membongkar perkara itu diserahkan kepada anak-anak Puan Jenkins, Gregory dan Jennifer," kata kenyataan itu.

Terdahulu, keluarganya menyatakan harapan bahawa inkues yang akan diadakan di Pulau Pinang mulai hari ini (28 Mac) hingga 1 April tidak akan mengisytiharkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat "kematian mengejut".

Anak lelakinya, Gregory berkata dia berusaha mendapatkan keadilan untuk ibunya. Dia kini berada di Pulau Pinang untuk menghadiri inkues itu, yang akan diketuai koroner Norsalha Hamzah, serta dibantu pengarah Pendakwaan negeri, Kahirul Annuar Abd Halim.

Tiada tindakan segera oleh pihak berkuasa

Anna, yang merupakan nama panggilan keluarga dan rakan-rakan, bertemu dengan bapa Gregory, Frank Jenkins, di Pulau Pinang, yang merupakan seorang veteran perang Vietnam dan dihantar bertugas ke Butterworth pada tahun 70-an.

Frank pada mulanya mahu bertemu dengan kakak Anna tetapi sebaliknya jatuh cinta kepada Anna.

Pasangan itu tinggal di Butterworth dan Tanjung Bungah sebelum mereka berpindah ke Australia.

Anna menjadi warganegara Australia pada tahun 1982 tetapi kembali ke Pulau Pinang secara kerap, kira-kira empat atau lima kali setahun, untuk melawat ibunya yang sedang sakit.

Mayatnya ditemui pada 14 dan 15 Jun 2020, lebih dua tahun selepas laporan kehilangan dibuat pada 5 Dis 2017.

Pada 14 Jun, Gregory menerima gambar barangan kepunyaan ibunya daripada sumber tanpa nama, dan polis dimaklumkan mengenai perkara itu melalui Misi Diplomatik Australia di Malaysia.

Mayatnya ditemui di tapak pembinaan di kawasan Kelab Turf Pulau Pinang di Batu Gantung, oleh seorang pekerja binaan.

Menurut Gregory, tiada sebarang maklum balas atau tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.

Pada 12 Ogos 2020, sepasukan pakar forensik yang terdiri daripada seorang penolong penguasa polis (ASP), 4 inspektor, 4 sarjan dan seorang koperal, telah menjalankan pemeriksaan dan menemui serpihan tulang.

Pada 13 Januari 2021, selepas 154 hari carian, pasukan forensik melakukan carian lain dan menemui lebih banyak serpihan tulang.

Sijil kematian kemudian dikeluarkan namun punca sebenar kematian Anna tidak dikenal pasti.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS