Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kehadiran di parlimen: Ada pemimpin beri contoh buruk

Analisis ke atas rekod kedatangan Dewan Rakyat dalam sidang menunjukkan ada beberapa ahli parlimen kanan terdedah kepada sikap culas.

Ia juga menunjukkan kadar kehadiran ahli parlimen kerajaan adalah lebih rendah berbanding kadar kehadiran purata Dewan Raktyat.

Data itu dibekalkan oleh kumpulan masyarakat sivil MyMP yang menjejaki kehadiran dengan menganalisis Hansard Dewan Rakyat untuk lima persidangan lalu, iaitu sejak 26 Julai tahun lalu..

Secara keseluruhan, ahli parlimen dikehendaki menunaikan tanggungjawab mereka untuk hadir di Dewan Rakyat selama 71 hari sejak tarikh tersebut.

Sebelum ini, rekod kehadiran bukan sebahagian daripada hansard.

Rekod yang sama juga menunjukkan ada 18 ahli parlimen menunjukkan kehadiran cemerlang apabila hadir pada semua hari persidangan. Kebanyakan mereka adalah wakil rakyat di blok pembangkang.

Lapan daripada mereka ialah ahli parlimen mewakili DAP, diikuti tiga lagi wakil Amanah.

Berikut ialah senarai ahli parlimen yang mencatatkan kehadiran sempurna:

1. Nor Azrina Surip (PKR – Merbok)
2. Wong Chen (PKR - Subang)
3. Wilfred Madius Tangau (Upko - Tuaran)
4. Wong Hon Wai (DAP - Bukit Bendera)
5. Wong Kah Woh (DAP - Ipoh Timur)
6. Thomas Su Keong Siong (DAP - Kampar)
7. Nga Kor Ming (DAP - Teluk Intan)
8. Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP - Segambut)
9. Fong Kui Lun (DAP - Bukit Bintang)
10. Anthony Loke Siew Fook (DAP - Seremban)
11. Alice Lau Kiong Yieng (DAP - Lanang)
12. Mohd Anuar Mohd Tahir (Amanah - Temerloh)
13. Khalid Abdul Samad (Amanah - Shah Alam)
14. Hasan Bahrom (Amanah - Tampin)

Sementara itu di blok kerajaan, ada empat orang yang mencatatkan kehadiran penuh, iaitu dua daripada PAS dan masing-masing seorang mewakili Bersatu dan Umno.

Mereka ialah:

1. Zakaria Mohd Edris (Bersatu - Libaran)
2. Mohd Salim Mohd Shariff (Umno - Jempol)
3. Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS - Sik)
4. Che Abdullah Mat Nawi (PAS - Tumpat)

Secara purata setiap ahli Dewan Rakyat berada selama 56.5 hari di Dewan Rakyat sepanjang tempoh tersebut. Bagaimanapun ada segelintir ahli parlimen yang tidak hadir walaupun setakat satu per tiga jumlah hari yang ditetapkan.

Mereka ialah:

1. Mahdzir Khalid (Umno - Padang Terap) - hadir 23 hari daripada 71 hari
2. Abdul Hadi Awang (PAS – Marang) - 21 hari daripada 71 hari
3. Mohd Shafie Apdal (Warisan – Semporna) - 20 hari daripada 71 hari
4. Hamzah Zainudin (Bersatu – Larut) - 20 hari daripada 71 hari
5. Reezal Merican Naina Merican (Umno - Kepala Batas) - 18 hari daripada 71 hari
6. Muhyiddin Yasin (Bersatu – Pagoh) - 17 hari daripada 71 hari
7. Michael Teo Yu Keng (PKR – Miri) - 13 hari daripada 71 hari

Rekod juga menunjukkan beberapa pemimpin tertinggi parti tidak menunjukkan contoh yang baik kepada pengikut mereka dari segi kehadiran di Dewan Rakyat.

Rekod kehadiran paling teruk dalam kalangan pemimpin tertinggi parti dimiliki Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan presiden Bersatu.

Dia hanya hadir di Dewan Rakyat sebanyak 17 daripada 71 hari itu.

Sebaliknya presiden Upko (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) Madius Tangau mempunyai rekod kehadiran terbaik dalam kalangan pemimpin tertinggi sesebuah parti.

Secara purata, ahli parlimen menghadiri 56.5 daripada 71 hari. Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mempunyai purata kadar kehadiran 63.1 hari, lebih baik daripada purata blok kerajaan iaitu 52 hari bagi setiap ahli parlimen.

Sementara itu, pengasas bersama MyMP, Chak Onn Lau, memberitahu Malaysiakini kumpulan itu muncul berikutan insiden Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan kerajaan PH dijatuhkan di luar proses pilihan raya.

“Kami mahukan lebih banyak akauntabiliti daripada semua pihak.

"Jadi kami mendapat idea dan mendapat sedikit geran, RM50,000, daripada MCCHR (Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia) untuk membinanya.

“Secara ideal, matlamat kami ialah untuk membenarkan media dan orang ramai menggunakan data kami untuk membentuk pendapat masing-masing tentang ahli parlimen negara ini.

"Secara umum kita boleh melihat piawaian keseluruhan ahli parlimen pasti boleh ditingkatkan jika orang ramai benar-benar mengambil berat tentang butiran yang ada.

"Tugas kami ialah untuk menjadikan butiran itu menyeronokkan dan menarik mereka terlibat sama," katanya.

Ditanya apakah pandangan MyMP mengenai isu itu selepas melihat data yang ada, Chak berkata mereka: "Kami akan biarkan data bercakap untuk itu."

Pada masa sama, dia menegaskan di sana "terdapat beberapa orang wira sebenar" dalam kalangan ahli parlimen.

Laporan tambahan dan penelitian data oleh Alyaa Alhadjri dan Andrew Ong.

Lihat Komen
ADS